Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri Buruh mengaku tidak salah langgar pegawai imigresen hingga maut

Buruh mengaku tidak salah langgar pegawai imigresen hingga maut

oleh Ammar Haziq
Warga Indonesia itu tidak mengaku bersalah di Mahkamah Masjistret Sungai Petani hari ini.

SUNGAI PETANI, 8 Sept – Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian pegawai imigresen, Ahad lalu.


Tertuduh yang juga lelaki warga Indonesia Nur Holis, 27, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, M Kalaiarasi.


Mengikut pertuduhan, Nur Holis didakwa memandu secara bahaya sehingga menyebabkan kematian Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Muhammad Nizam Samsudin, 46.


Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4 September 2022, jam 9.30 pagi di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda minimum sebanyak RM20,000 dan maksimum sebanyak RM50,000.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Preeyaa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin dan menyerahkan pasport antarabangsanya selain turut menetapkan 28 September depan bagi tarikh serahan dokumen.


Dalam kejadian langgar lari 9.30 pagi Ahad lalu, Muhammad Nizam meninggal dunia ditempat kejadian selepas motosikal ditunggang dirempuh Proton Wira Aeroback dipandu suspek.


Kejadian turut menyebabkan rakan mangsa, Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen Zaili Nizam Muhammad,43, patah kaki kanan kerana tidak sempat mengelak motosikal rakannya yang jatuh di lorong kecemasan selepas dirempuh suspek.


Kedua-dua pegawai yang bertugas di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang itu menunggang motosikal berkuasa tinggi Kawasaki KLE650 dan dikatakan dalam perjalanan ke Gurun.


Suspek yang mendakwa takut dipukul serta tidak mempunyai lesen memandu melarikan diri namun kereta dipandunya berjaya dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Gurun.


Pemandu Proton Wira Aeroback itu kemudian ditahan 6.30 petang sehari selepas kejadian sebaik dia menyerah diri di Pejabat Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda. – Kedah Gazette

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com