Friday, 26, April, 2024
Utama Negeri Wanita hadapi 22 pertuduhan terima deposit tanpa lesen sah RM876,375

Wanita hadapi 22 pertuduhan terima deposit tanpa lesen sah RM876,375

oleh Ammar Haziq
Norsyazwany dibawa keluar dari Mahkamah Seysen Sik selepas dituduh dengan 22 pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah berjumlah RM876,375 sejak April lalu.

Wanita berdepan 22 pertuduhan terima deposit tanpa lesen sah

SIK, 12 Sept. – Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Sik hari ini bagi berdepan 22 pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah, berjumlah RM876,375 sejak April lalu.

Tertuduh, Norsyazwany A. Rahim, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di depan Hakim, Najwa Che Mat.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita tersebut yang merupakan seorang peniaga didakwa menerima deposit daripada 22 individu secara berasingan berjumlah antara RM2,500 hingga RM489,000 tanpa lesen sah mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Ibu kepada dua anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di lokasi berasingan sekitar Baling antara 10 April hingga 2 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Ikmal Affandi Zulkifli mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Salihen Mastor.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

Pihak pendakwaan meminta pihak mahkamah menetapkan kadar jaminan sejumlah RM214,000 terhadap tertuduh bagi semua pertuduhan dihadapi.

Peguam mewakilinya bagaimanapun memohon agar kadar jaminan itu dikurangkan kerana pendapatan tertuduh sebagai peniaga tidak menentu selain perlu menguruskan dua anak berusia dua tahun dan lapan bulan yang masih menyusu.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan berjumlah RM10,000 bagi satu daripada pertuduhan dihadapi, manakala untuk 21 kes lain, jumlah jaminan ditetapkan adalah RM5,000 bagi setiap satu kes.

Mahkamah turut memerintahkan agar tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan manakala pasport antarabangsanya pelru diserahkan kepada mahkamah.

Najwa turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 23 November depan.

Tertuduh difahamkan gagal membayar jaminan ditetapkan itu dengan dia kemudiannya dihantar ke Penjara Pokok Sena.

Sementara itu Mohamed Salihen ketika ditemui selepas prosiding berjalan memaklumkan, pihaknya akan memfailkan rayuan semakan di Mahkamah Tinggi Sungai Petani terhadap jumlah jaminan ditetapkan itu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com