Friday, 19, April, 2024
Utama Negeri Remaja Perempuan Maut Dilanggar Motosikal Lawan Arus

Remaja Perempuan Maut Dilanggar Motosikal Lawan Arus

oleh admin

ALOR SETAR, 18 Sept – Seorang remaja perempuan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar oleh sebuah motosikal yang didakwa dibawa secara melawan arus di Jalan Lencongan Barat, dekat Sungai Petani awal pagi tadi.

Remaja perempuan berusia 19 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar oleh sebuah motosikal yang didakwa dibawa secara melawan arus di Jalan Lencongan Barat, dekat Sungai Petani awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 12.10 tengah malam yang melibatkan tiga motosikal itu, remaja perempuan yang berusia 19 tahun yang menunggang motosikal jenis Benelli VZ maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata sebelum kejadian, mangsa dan seorang lagi remaja perempuan berusia 20 tahun yang menunggang sebuah motosikal jenis Honda Vario sedang bergerak dari arah sama iaitu dari Sungai Jagung menghala ke Sungai Layar.

“Sampai di tempat kejadian, sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang lelaki berusia 52 tahun telah bergerak secara melawan arus di lorong mangsa sebelum berlaku pertembungan.

“Itu telah menyebabkan motosikal yang ditunggang remaja berusia 20 tahun yang berada di belakang mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh di lorong kiri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata akibat kemalangan itu, mangsa yang bekerja di sebuah pasaraya maut di tempat kejadian manakala remaja perempuan berusia 20 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian muka sementara lelaki berkenaan cedera di tangan kanan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk proses bedah siasat dan mangsa yang cedera juga telah dibawa ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com