Friday, 19, April, 2024
Utama Gaya HidupDestinasi Hentikan kempen negatif berkaitan Pulau Langkawi

Hentikan kempen negatif berkaitan Pulau Langkawi

oleh admin

ALOR SETAR, 20 Sept – Orang ramai diminta untuk menghentikan sebarang kempen negatif berkaitan pelancongan di Pulau Langkawi berikutan bimbang ia akan memberi kesan kepada industri pelancongan di pulau itu.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pihaknya tidak boleh memaksa pelancong untuk datang melancong di Langkawi mahupun untuk tidak pergi ke negara jiran, Thailand.

“Kalau mereka hendak ke Thailand, kita tidak boleh halang kerana itu normal dalam industri pelancongan. Kalau sebelum ini mereka pernah datang melancong di Langkawi, mesti mereka mahu ke tempat pelancongan atau negara lain pula.

“Tetapi, saya minta hentikan sebarang kempen yang memburukkan Langkawi. Kerajaan negeri sedang berusaha untuk meningkatkan daya tarikan di Langkawi dan Tanah Besar bagi menarik lebih ramai pelancong ke Kedah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hantaran di media sosial yang menggalakkan orang ramai untuk pergi melancong ke Thailand berbanding Langkawi kerana harga hotel dan makanan di pulau itu lebih mahal berbanding Thailand.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata Langkawi juga mencatatkan kemasukan pelancong yang menggalakkan mengikut data yang diberikan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

“Kalau ramai pelancong yang pergi ke Thailand, itu tidak bermakna negeri kita akan terjejas teruk kerana keadaan itu hanyalah untuk sementara waktu sahaja,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi telah menghadiri Dialog Bajet 2023 Kerajaan Negeri Kedah yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Norizan Khazali dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Isahak Murat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com