Friday, 26, April, 2024
Utama Negeri Mekanik pandu laju cetus kemalangan maut

Mekanik pandu laju cetus kemalangan maut

oleh admin

SUNGAI PETANI, 20 SEPT – Seorang lelaki warga emas maut manakala bayi lelaki yang berada di ribanya terselamat selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan tiga kenderaan lain di Jalan Sidam Kiri, dekat sini petang semalam.

Toyota Corolla dipandu laju seorang mekanik sebelum ia hilang kawalan dan merempuh tiga kenderaan lain iaitu lori, motosikal dan Proton Saga dinaiki empat sekeluarga di Jalan Sidam Kiri, semalam.Kemalangan menyebabkan lelaki warga emas yang juga penumpang belakang Proton Saga maut.

Dalam kejadian pada 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 63 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala bayi berusia setahun dipercayai cucunya cedera di dahi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata ketika kejadian mangsa berada di bahagian tempat duduk penumpang belakang sambil memangku cucu manakala isterinya pula berada di tempat duduk penumpang hadapan Proton Saga yang dipandu anak perempuan mereka.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kemalangan membabitkan kereta dinaiki empat sekeluarga itu dengan tiga lagi kenderaan iaitu sebuah kereta Toyota Corolla, lori dan juga motosikal.

“Siasatan lanjut mendapati pemandu Toyota Corolla iaitu remaja lelaki berusia 18 tahun dan bekerja sebagai mekanik datang dari arah Sungai Petani menghala ke Sidam Kiri manakala tiga kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu datang dari arah bertentangan.

“Pemeriksaan mendapati mekanik berkenaan memandu laju sebelum dia hilang kawalan serta masuk laluan bertentangan dan melanggar tiga kenderaan lain,” katanya.

Katanya, Toyota Corolla dipandu mekanik itu pada mulanya merempuh kanan lori sebelum bertembung Proton Saga dinaiki empat beranak manakala penunggang motosikal yang tidak sempat mengelak turut terjatuh.

“Akibat daripada pelanggaran itu menyebabkan penumpang lelaki yang berada di tempat duduk belakang Proton Saga meninggal dunia tiga yang lain termasuk bayi hanya mengalami kecederaan.

“Pemandu Toyota Corolla didapati cedera pinggang serta lutut kanan manakala penunggang motosikal cedera kaki kanan dan pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Zaidy berkata, siasatan dan pemeriksaan lanjut mendapati mekanik yang memandu Toyota Corolla terbabit tidak mempunyai lesen memandu.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian mekanik berkenaan yang didapati memandu laju hingga menyebabkan kenderaannya hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com