Thursday, 28, March, 2024
Utama Negeri Menteri Besar perlu tegas, serius tangani masalah bekalan air Kedah

Menteri Besar perlu tegas, serius tangani masalah bekalan air Kedah

oleh admin

ALOR SETAR, 21 Sept. – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor diminta bertegas serta memandang serius masalah bekalan air yang didakwa kian menekan penduduk di negeri ini saban hari.

Menurut Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, Muhammad Sanusis seharusnya mengarahkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk menjadi lebih prihatin dan cekap dan bukannya terus menerus melindungi serta mempertahankan kelemahan syarikat tersebut.

Shaiful Hazizy Zainol Abidin

Hakikatnya kata beliau, SADA gagal dan masih berada di takuk klama selaku pengendali perkhidmatan air bersih dan terawat kepada rakyat negeri ini.

“Atas asas ini, saya ingin menyarankan beberapa cadangan penambah baikan antaranya menukar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SADA. Mana-mana kakitangan yang gagal mempamerkan prestasi baik harus dikeluarkan termasuklah pegawai tertinggi dan pasukan pengurusannya.

“Sekiranya ia dikepalai oleh mereka yang tidak cekap, tidak prihatin dan gagal menyelesaikan masalah, Menteri Besar mesti menunjukkan ketegasan. Gantikan dengan mereka yang profesional, lebih layak dan berupaya membawa perubahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, jumlah Ahli Lembaga Pengarah SADA berlatar belakangkan politik juga mesti dikurangkan dengan kedudukan itu perlu dipenuhi mereka yang mempunyai pengetahuan berkenaan pengurusan air.

“Saya menyarankan agar diberi kuota 30 peratus kepada golongan profesional dan pemain industri. Paling penting, kedudukan itu mesti diisi mereka yang prihatin terhadap isu rakyat dan bukannya mereka yang ingin menjadikan SADA sebagai sekadar sumber pendapatan pasif,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar SADA melakukan audit bebas, tegas dan berkala dengan strukturnya juga perlu disemak semula.

“Strategi dan pendekatan mesti diperkemas serta diperbaharui. Malah aspek-aspek seperti tahap air tidak berhasil (NRW) mesti dikaji semula.

“Paling penting, laporan dan dapat audit bebas ini pula harus dibentang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dibahaskan dan diberi perhatian oleh semua wakil rakyat,” katanya.

Beliau menambah, memandangkan SADA tidak berupaya mengendalikan isu air dengan baik, adalah tidak keterlaluan untuk menggantikan saja syarikat tersebut dengan entiti lain sekiranya mereka masih enggan melakukan perubahan sepatutnya.

“Terdapat beberapa alternatif lain antaranya gantikan SADA dengan entiti lain yang lebih berkelayakan, buka sektor perkhidmatan air di Kedah agar lebih kompetitif dan ketiga selaku jalan akhir, pulangkan pengurusan air negeri kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menggesa supaya SADA berkongsi pelan tindakan dan status terkini projek baik pulih bekalan air di Kedah.

“Saya juga yakin kerajaan negeri perlu melaksanakan program pemodenan infrastruktur air besar-besaran di Kedah. Pembiayaan dan sumber kewangan boleh dilakukan dengan pelbagai cara.

“Terdapat lima saluran pembiayaan yang boleh dipertimbangkan kerajaan negeri termasuklah penerbitan bon khas dijamin kerajaan negeri, sumbangan khas kerajaan Persekutuan, kerjasama kerajaan atau swasta, sumbangan wakaf atau infak oleh mereka yang berharta serta permohonan dana dalam dan luar negara,” katanya. 

Shaiful Hazizy mendakwa, antara kawasan yang kian teruk keadaannya adalah di Kuala Muda, Kuala Kedah, Pendang dan Kulim-Bandar Baharu hingga seakan tidak menunjukkan tanda akan berakhir.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com