Thursday, 28, March, 2024
Utama Negeri Bapa dera anak direman enam hari

Bapa dera anak direman enam hari

oleh admin

Sungai Petani, 22 September – Seorang murid lelaki tahun satu menjadi mangsa dera bapa sendiri sejak dua bulan lalu selepas dia didakwa degil dan hiperaktif.

Rahsia itu terbongkar apabila guru kelas yang curiga melihat anak muridnya yang berkelakuan pelik kerana memakai jaket ketika berada dalam kelas jam 8 pagi semalam.

Difahamkan, mangsa yang berusia tujuh tahun itu memakai jaket terbabit untuk menyembunyikan kesan luka dan kecederaan akibat dipukul bapanya.

Bagaimanapun, guru kelas yang turut melihat kesan merah di muka memaklumkan kejadian terbabit kepada guru penolong kanan yang kemudian membuat pemeriksaan terhadap mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, guru penolong kanan yang membuat pemeriksaan terkejut apabila mendapati ada kesan calar di badan, lebam siku, luka telinga kiri dan bibir terkoyak dipercayai akibat dipukul.

Penyapu, rotan dan senduk yang digunakan suspek ketika memukul anaknya dirampas polis.

“Mangsa dibawa guru penolong kanan berkenaan ke balai polis dan turut dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

“Dalam laporan perubatan awal, doktor yang merawat mendapati terdapat kesan lebam baru dan lama di kepala, leher serta badan yang didakwa berpunca daripada penderaan,” katanya.

Zaidy berkata, susulan daripada itu, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang juga pekerja kilang, malam tadi.

“Siasatan awal mendapati suspek mendakwa dia kerap memukul mangsa dengan rotan, penyapu dan senduk plastik sejak dua bulan lalu.

“Suspek direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com