Friday, 29, March, 2024
Utama Politik PH tumpu tawar alternatif daripada layan kenyataan lawan

PH tumpu tawar alternatif daripada layan kenyataan lawan

oleh admin

PENDANG, 25 Sept. – Isu berkaitan rakyat terutamanya melibatkan kos sara hidup, harga barang, benih, baja dan makanan haiwan lebih menjadi tumpuan Pakatan Harapan (PH) daripada menumpukan kepada kenyataan-kenyataan dikeluarkan pihak tertentu mengenai siapa musuh mereka.

Menurut Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu-isu tersebut tidak ditangani kerajaan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin saling menuduh satu sama lain gagal.

“Ini bukan soal permusuhan sebaliknya PH mahu ketengahkan alternatif kepada kepincangan dan kegagalan yang ada kini. Perdana Menteri dan Pengerusi PN saling menuduh mereka gagal jadi kita nak kemukakan alternatif yang baik.

“Yang kita dengar kedua-duanya mengatakan yang masing-masing gagal tetapi projek membela nasib rakyat tak lagi kedengaran,” katanya.

Semalam Muhyiddin ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun Ke-6 Bersatu di Putrajaya menegaskan, semua parti komponen PN perlu sepakat bahawa musuh utama gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah BN.

Kenyataan itu dilihat bercanggah dengan penjelasan dibuat Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang merupakan sebahagian daripada parti komponen membentuk PN Selasa lalu, apabila beliau menjelaskan bahawa musuh Pas adalah PH dan bukannya UMNO.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Program Dialog Bersama Anak Muda di Pendang Lake Resort di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Anwar berkata, beliau tidak melihat sebarang perbezaan di negara ini sama ada ketika PN mahu pun BN memerintah.

“Kos sara hidup, masalah rakyat, mutu pendidikan dan kesihatan masih sama. Rasuah pun belum lagi berhenti,” katanya.

Dalam pada itu Anwar berkata, PH sudah mengadakan beberapa pertemuan dan sedang meningkatkan usaha bagi memastikan Kedah dapat ditawan semula.

Beliau turut memaklumkan bahawa gabungan tersebut akan turut memutuskan mengenai beberapa perkara termasuk siapa yang akan menjadi ‘poster boy’ di Kedah dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com