Thursday, 25, April, 2024
Utama Negeri Pengguna perlu dapatkan nasihat ahli farmasi berkelulusan sebelum beli ubat

Pengguna perlu dapatkan nasihat ahli farmasi berkelulusan sebelum beli ubat

oleh admin

ALOR SETAR, 1 Okt – Pengguna diminta untuk mendapatkan nasihat dan pandangan daripada ahli farmasi yang berkelulusan sebelum membeli sebarang ubat-ubatan atau produk kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata ia penting bagi mengelakkan pengguna daripada mendapat kesan sampingan yang teruk dari ubat atau produk yang dibeli.

Pengerusi Kesihatan Negeri Kedah Datuk Dr Mohd Hayati Othman berucap pada sambutan World Pharmacists Day Peringkat Negeri Kedah-Perlis 2022

“Zaman sekarang, ada yang beli ubat-ubatan atau produk kesihatan melalui atas talian dan ada antara ubat dan produk yang dijual itu tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain mengandungi bahan yang berbahaya untuk badan.

“Pengguna boleh mengalami kesan sampingan dan alahan yang teruk dan sekiranya ia diambil dalam jangka masa yang panjang, ia akan memberi kesan yang teruk kepada buah pinggang, usus dan organ dalaman yang lain,” katanya.

Terdahulu, beliau telah merasmikan sambutan ‘World Pharmacists Day’ Peringkat Negeri Kedah-Perlis 2022 yang diadakan di pusat membeli-belah Aman Central di sini, hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata sambutan Hari Farmasi itu adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengguna tentang pentingnya untuk mengambil ubat atau produk kesihatan daripada mereka yang berkelulusan dan pakar dalam bidang perubatan.

“Ahli farmasi boleh membantu pengguna dengan memberi maklumat yang tepat mengenai ubat-ubatan atau produk kesihatan yang hendak dibeli. Kalau pengguna hendak beli di kedai-kedai biasa, pastikan ia mempunyai label hologram yang sah,” katanya

Tanggal 25 September setiap tahun telah dipilih sebagai tarikh Hari Ahli Farmasi Sedunia dan antara peranan penting seorang ahli farmasi adalah memastikan ubat yang diberikan kepada pesakit adalah tepat dengan dos yang selamat untuk merawat pesakit.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com