Friday, 29, March, 2024
Utama Negeri Tiada cadangan lanjutkan Kawasan Bebas Niaga di Kedah

Tiada cadangan lanjutkan Kawasan Bebas Niaga di Kedah

oleh admin

ALOR SETAR, 1 Okt – Kerajaan negeri Kedah tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh niaga di Kawasan Bebas Berniaga yang akan tamat pada 31 Disember tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata Kawasan Bebas Berniaga itu mula dilaksanakan pada tahun 2020 ketika negara sedang berdepan pandemik COVID-19.

Datuk Dr Mohd Hayati Othman

“Peniaga, penjaja atau perniagaan kecil-kecilan di Kawasan Bebas Niaga di negeri ini perlu mula mencari lokasi tapak niaga atau ruang perniagaan yang baharu dengan segera sebelum tempoh berkenaan tamat.

“Tempoh ini sepatutnya tamat lebih awal lagi tetapi kita ada terima pemohonan daripada peniaga di kawasan tertentu yang mohon untuk lanjutkan sehingga Disember, jadi ia ditangguhkan sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Terdahulu beliau telah merasmikan sambutan ‘World Pharmacist Day’ Peringkat Negeri Kedah-Perlis 2022.

Dr Mohd Hayati berkata lanjutan tempoh berniaga di Kawasan Bebas Niaga di beberapa kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diberikan kepada peniaga-penigaa yang terlibat sebelum ini.

“Kita mahu peniaga berniaga di tempat yang selesa dan elak menjalankan perniagaan di tepi jalan kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada mereka selain menyebabkan aturan yang tidak tersusun,” katanya.

Pada Mac lepas, kerajaan negeri memutuskan Kawasan Bebas Berniaga yang sepatutnya dilaksanakan sehingga semua kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan sepenuhnya dilanjutkan hingga 31 Disember 2022.

Kawasan niaga itu melibatkan pentadbiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Majlis Perbandaran Langkawi (MPL), Majlis Perbandaran Kulim (MPK) dan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP).

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com