Thursday, 28, March, 2024
Utama Negeri LAPAN nelayan ditahan langgar syarat sah lesen

LAPAN nelayan ditahan langgar syarat sah lesen

oleh admin
YouTube player

KUALA KEDAH, 2 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan lapan nelayan tempatan selepas disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen dalam pemantauan Op Aman di kedudukan 0.4 batu nautika timur laut Pulau Bunting pada jam 11.13 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Bagan Tiang, Perak itu disyaki melakukan dua kesalahan dengan melanggar kawasan aktiviti perikanan dan lesen menangguk siput telah tamat tempoh pada tahun 2020.

Katanya, operasi pemantauan dijalankan berikutan aduan awam yang diterima oleh pihak Maritim Malaysia mengenai kehadiran beberapa bot nelayan tempatan yang bernombor pendaftaran dari negeri Perak di lokasi terbabit.

“Pemeriksaan awal mendapati bot nelayan tempatan yang dikendalikan oleh lapan kru berusia antara 17 hingga 56 tahun itu, penuh dengan muatan siput bayam dianggarkan sebanyak 700 kilogram.

“Bot, enjin beserta hasil tangkapan yang dianggarkan bernilai RM21, 050 kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah dan disiasat dibawah seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985, mereka boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar syarat lesen.

Jika disabitkan kesalahan katanya, indivudu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Zon Maritim Kuala Kedah juga mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com