Friday, 26, April, 2024
Utama Negeri Pekerja kilang ditemui tidak sedarkan diri terhidu gas ammonia

Pekerja kilang ditemui tidak sedarkan diri terhidu gas ammonia

oleh admin

ALOR SETAR, 3 Okt – Seorang pekerja sebuah kilang di Batu 6, Jalan Kuala Kedah di sini ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terhidu gas ammonia yang bocor.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.18 pagi.

“Anggota yang membuat pemantaun di kawasan kilang itu mendapati terdapat bau gas yang sangat kuat dan kesemua anggota telah diarahkan untuk memakai alat pernafasan bagi menghampiri kawasan kilang dan mengenal pasti punca kebocoran gas.

“Pada pukul 7.06 pagi, mangsa yang berusia 40-an telah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan kilang berkenaan akibat terhidu gas yang bocor di dalam kilang berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata mangsa berjaya dikeluarkan dan telah diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk tindakan lanjut.

” Kawalan keselamatan telah dilakukan bersama pasukam Hazmat dan telah berjaya menemui injap gas yang bocor dan menutup injap berkenaan.

“Pengesanan gas telah dilakukan di sekitar kawasan berkenaan oleh pasukan Hazmat bagi memastikan ia benar-benar selamat dan operasi ditamatkan pada pukul 10.19 pagi,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com