Wednesday, 24, April, 2024
Utama Negeri Tiga lelaki ditahan ubahsuai tangki minyak bot

Tiga lelaki ditahan ubahsuai tangki minyak bot

oleh Ammar Haziq
Tiga lelaki tempatan ditahan kerana dipercayai melakukan pengubahsuaian tangki minyak bot berkenaan di kedudukan empat batu nautika barat Kuala Kuar, pada jam 2.30 pagi semalam.

KUALA KEDAH, 4 Okt.– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan sebuah bot pukat tunda kelas C bersama tiga lelaki tempatan kerana dipercayai melakukan pengubahsuaian tangki minyak bot berkenaan di kedudukan empat batu nautika barat Kuala Kuar, pada jam 2.30 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot nelayan tempatan terbabit ditahan ketika sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan semasa dihampiri oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman di sekitar perairan Kedah.

Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas bot berkenaan, terdapat satu ruang asing yang dibuat di bawah rumah bot dan ditutupi dengan kayu papan lapis.

Bot yang ditahan Maritim Malaysia di barat Kuala Kuar awal pagi tadi kerana mengubah suai tangki minyak dan disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak.

Anggota penguat kuasa kemudian bertindak membongkar kayu papan tersebut dan menemukan dua tangki minyak yang telah diubahsuai dan mengesyaki bot berkenaan terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak.

Justeru itu, ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan bersama bot dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen seperti yang ditetapkan di dalam buku lesen.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 mereka boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar syarat lesen, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pengusaha bot nelayan tempatan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

Papan lapis digunakan bagi menutup dua tangki minyak yang telah diubah suai pada bot berkenaan.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.

Pihak Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan dan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com