Thursday, 25, April, 2024
Utama Politik Chan Ming Kai tak pertahan kerusi Parlimen Alor Setar

Chan Ming Kai tak pertahan kerusi Parlimen Alor Setar

oleh Ammar Haziq
Chan Ming Kai

Chan Ming Kai tak pertahan kerusi Parlimen Alor Setar

ALOR SETAR, 23 Okt. – Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Alor Setar.

Katanya, beliau dimaklumkan yang dirinya tidak lagi akan dicalonkan oleh PKR untuk bertanding di mana-mana kerusi dalam PRU kali ini.

“Saya memang bercadang untuk memberi laluan orang baru bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar dan mencabar kerusi yang masih belum dimenangi Pakatan Harapan (PH) seperti Bagan Datuk, Pagoh, Gombak atau Ampang.

“Namun keputusan parti setakat ini adalah mencadangkan calon baru menggantikan saya di Alor Setar saja. Saya dimaklumkan bahawa saya tidak lagi dicalonkan oleh parti untuk mana-mana kerusi dalam PRU,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ming Kai yang membesar di Ipoh sebelum ini pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai di Perak antara 2008 hingga 2013 dan Adun Indera Kayangan antara 2013 hingga 2018.

Dia kemudiannya dibawa PKR untuk bertanding di Parlimen Alor Setar dan berjaya memenangi kerusi tersebut dengan memperolehi 32,475 undi berbanding 17,275 diperolehi calon Pas, Aminur Shafiq dan 14,181 dimiliki calon BN dari MCA, Yoo Wei How.

Ming Kai menambah, beliau menghormati dan menerima keputusan PKR terhadap dirinya.

“Terima kasih kepada semua rakyat dan anggota parti yang memberi sokongan sepanjang 20 tahun perkhidmatan saya dari Perak ke Perlis, hingga Kedah. Reformasi!” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com