Friday, 19, April, 2024
Utama Negeri Lagi feri terkandas, Maritim Malaysia hantar bantuan aset selamatkan 133 penumpang

Lagi feri terkandas, Maritim Malaysia hantar bantuan aset selamatkan 133 penumpang

oleh admin

KUALA KEDAH, 28 Oktober- Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah telah menerima panggilan dari Jabatan Laut Malaysia (JLM) memaklumkan sebuah feri Starcity Express 6 yang dalam perjalanan dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi telah terkandas pada pukul 4.30 petang tadi di posisi 0.5 batu nautika muara Kuala Kedah.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, bot PERKASA 1224 telah diaturgerak ke lokasi kejadian sejurus menerima aduan dalam usaha membantu pihak feri dan JLM sebelum paras air mulai surut.

Sebelumnya, feri berkenaan cuba ditunda balik oleh bot tunda (tug boat) milik sebuah syarikat kargo di Kuala Kedah namun feri berkenaan telah terkeluar dari laluan dan tersangkut di beting lumpur.

Seramai 133 orang penumpang turut melibatkan kanak-kanak lelaki dan perempuan, wanita dan lelaki berada di atas feri berkenaan telah berjaya dibawa keluar oleh bot PERKASA 1224 yang turut dibantu oleh beberapa bot nelayan yang berada berhampiran untuk dibawa ke Jeti Penumpang Kuala Kedah.

Operasi menyelamat telah dikoordinasikan oleh Maritim Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi ini ditamatkan pada jam 6.30 petang setelah kesemua penumpang berjaya dibawa ke Jeti Penumpang Kuala Kedah dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Antara agensi dan jabatan yang terlibat ialah Jabatan Laut Malaysia (JLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Malaysia (KKM), dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Zon Maritim Kuala Kedah juga mengalu-alukan aduan mengenai sebarang kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com