Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri Empat nelayan ditahan ubahsuai tangki minyak bot

Empat nelayan ditahan ubahsuai tangki minyak bot

oleh admin

LANGKAWI, 30 Oktober– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah bot pukat tunda kelas C bersama empat lelaki tempatan selepas dipercayai melakukan pengubahsuaian tangki minyak bot berkenaan di kedudukan 7.7 batu nautika barat Tanjung Chincin pada jam 11.45 malam semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim, Romli Mustafa berkata, bot nelayan tempatan terbabit ditahan ketika sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan semasa dihampiri oleh Kapal Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman di sekitar perairan Langkawi.

Ketika pemeriksaan dilakukan, terdapat satu ruang asing yang dibuat di bawah rumah bot dan ditutupi dengan kayu papan lapis.

Anggota penguat kuasa kemudian bertindak membongkar kayu papan tersebut dan menemukan beberapa tong minyak tambahan yang telah diubahsuai dan mengesyaki bot nelayan ini terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak.

Justeru itu, keempat-empat lelaki berkenaan ditahan bersama bot dan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen seperti yang ditetapkan di dalam buku lesen dan Akta Bekalan 1961 iaitu memilik barang-barang kawalan dengan melakukan kesalahan.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 mereka boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar syarat lesen yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Romli menambah, pengusaha bot nelayan tempatan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

Katanya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.

“Pihak Maritim Malaysia Maritim Negeri Kedah dan Perlis mengalu-alukan aduan dan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Kedah dan Perlis di talian 04-9662750,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com