Thursday, 28, March, 2024
Utama Negeri UUM bakal rai 6,611 graduan 2021

UUM bakal rai 6,611 graduan 2021

oleh Ammar Haziq
Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah

Alor Setar, 31 Oktober – Seramai tujuh (7) pengamal media antara 6,611 graduan tahun 2021 yang bakal menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-34 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang akan berlangsung selama lima (5) hari mulai 6 hingga 10 November 2022 di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, kesemua pengamal media tersebut akan menerima ijazah masing-masing pada 7 November ini yang akan disampaikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah.

Majlis konvokesyen melibatkan sembilan (9) sesi itu akan disertai 6,611 graduan (tidak termasuk penerima Ijazah Kehormat) yang terdiri daripada 5,537 graduan Sarjana Muda dan 1,074 graduan pascasiswazah.

Daripada jumlah graduan pascasiswazah, 227 merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan (2), Doktor Pentadbiran Perniagaan (30), Ijazah Sarjana (691) dan Diploma Pascasiswazah (124).

Majlis konvokesyen ini juga meraikan 393 graduan antarabangsa dari 28 negara yang mana Indonesia mencatatkan jumlah teramai iaitu seramai 117 graduan, diikuti China (82) dan Pakistan (43).

Selain itu, Majlis Konvokesyen ini juga menyaksikan seramai 868 graduan (13.12%) dari Ijazah Sarjana Muda mendapat Ijazah Kelas Pertama.

 Dengan terlahirnya graduan ini yang kebanyakan telah mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian, pencapaian kebolehpasaran graduan (GE) UUM telah mencapai 84% peratus, sekali gus meletakkan satu standard yang baik kepada para majikan.

Untuk majlis konvokesyen kali ini, UUM mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan ICT) kepada Tan Sri Dr. Halim Shafie dan Ijazah Kehormat Sarjana (Pengurusan Operasi) kepada Dato’ Che Azmi Murad.

Canselor UUM, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah akan menyampaikan ijazah kehormat kepada kedua-dua tokoh tersebut pada sesi pertama, 6 November 2022 (Ahad).

 Selain itu, seramai 955 graduan dipilih untuk menerima 31 anugerah utama Universiti termasuk anugerah baharu diperkenalkan iaitu Anugerah Kecemerlangan PTPTN.

Sempena Majlis Konvokesyen UUM Ke-34, Pesta Konvokesyen (PESKON) dengan tema ‘#INIUUMKITA: Kenangan Tercipta’ akan berlangsung dari 3 hingga 11 November 2022 mulai jam 9 pagi hingga 11 malam di Tapak Ekspo, Padang Kawad PALAPES dan sekitar UUM.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com