Friday, 29, March, 2024
Utama Politik Kenyataan Anwar jatuhkan imej tentera – BNComms Kedah

Kenyataan Anwar jatuhkan imej tentera – BNComms Kedah

oleh Ammar Haziq
Shaiful Hazizy (duduk empat kiri) hadir bersama masyarakat India di Taman Bandar Baru PKNK di sini,

MERBOK – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BNComms) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin melihat Tuduhan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa ada anggota tentera yang mengundi di Parlimen Bera dibayar RM300 merupakan satu tuduhan yang tidak masuk akal.

Menurutnya, dakwaan tersebut menjatuhkan maruah serta imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara keseluruhannya.

“Bagi saya perkara ini perlu diambil tindakan tegas kerana ianya boleh mendatangkan mudarat yang besar kepada negara waima kepada anggota tentera yang selama ini bekorban mempertahankan negara yang kita cintai,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelasnya, seandainya Anwar mempunyai bukti seperti yang dikatakan,  beliau dicabar untuk membuat laporan polis pada Ahad.

“Jika tidak rakyat perlu sedar bahawa kenyataan Anwar Ibrahim ini hanyalah satu tuduhan jahat dan telah menjatuhkan maruah serta imej tentera dan beliau perlu membuat permohonan maaf,” ujar beliau yang juga calon Barisan Nasional Parlimen Merbok.

Shaiful Hazizy meluangkan masa bersama masyarakat India di Taman Bandar Baru PKNK Sungai Petani.

Dalam perkembangan sama, pemimpin pembangkang juga diingatkan tidak mengganggu pengundi tentera membuat keputusan pada PRU15 kerana anggota beruniform sudah faham dalam menentukan hala tuju dan masa depan negara.

“Saya minta pemimpin pembangkang jangan ganggu pengundi tentera sebab kita yakin bahawa mereka mampu buat keputusan sendiri, tak perlu ada-adakan cerita, tak perlu tohmah dan fitnah..biar mereka mengundi dengan sukarela, aman dan ikut apa yang mereka nak undi.

“Jangan disebabkan dah tak ada modal politik, benda macam ni dijadikan taruhan, bagi saya tidak pernah sama sekali ada imbuhan paksaan untuk anggota tentera mengundi,”katanya semasa ditemui selepas bersama masyarakat India di Taman Bandar Baru PKNK, Sungai Petani.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com