Thursday, 25, April, 2024
Utama Negeri Ops bersepadu : 19 nelayan ditahan positif dadah di Kuala Kedah

Ops bersepadu : 19 nelayan ditahan positif dadah di Kuala Kedah

oleh Ammar Haziq
Maritim memeriksa nelayan di muara Kuala Kedah pada Rabu.

KUALA KEDAH, 1 Disember  – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Kota Setar dan Pokok Sena telah melaksanakan Op Bersepadu dalam usaha membanteras aktiviti penagihan dadah dalam kalangan komuniti nelayan di sekitar perairan Kuala Kedah pada jam 10.00 pagi, semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi bin Mohd Nadzir berkata, operasi ini melibatkan 60 pegawai dan anggota dari kedua-dua agensi yang melakukan serbuan di jeti-jeti bot sekitar muara Kuala Kedah serta pemeriksaan secara rawak ke atas  bot nelayan tempatan yang berada di sekitar muara Kuala Kedah.

Hasil operasi ini, seramai 19 orang ditahan dan didapati positif dadah jenis Methaphetamine serta sebuah bot nelayan tempatan Kelas B turut ditahan atas kesalahan dibawah Akta Perikanan 1985.

Nelayan positif dadah ditahan oleh Maritim.

Kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berumur dalam lingkungan umur 25 hingga 50 tahun  dan diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.

Pihak Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan dan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com