Thursday, 25, April, 2024
Utama Negeri Bot nelayan pukat jerut ditahan, tidak miliki dokumen sah alat komunikasi

Bot nelayan pukat jerut ditahan, tidak miliki dokumen sah alat komunikasi

oleh Ammar Haziq
Anggota Maritim membuat pemeriksaan ke atas bot yang ditahan tersebut. FOTO MARITIM

 LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C pada jarak sekitar 9 batu nautika barat daya Pulau Singa pada jam 4 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, ketika ditahan bot nelayan itu sedang bergerak keluar dari pulau untuk menangkap ikan.

Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan itu mempunyai tujuh alat komunikasi yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pemeriksaan lain mendapati, bot itu membawa seorang tekong bersama 24 kru warga Kemboja dalam lingkungan umur 21 hingga 49 tahun.

Bot dan kesemua kru yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta SKMM 1998 kerana nelayan tidak mempunyai surat kebenaran menggunakan alat komunikasi dan Akta Imigeresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri kru warga asing yang meragukan.

Komuniti maritim setempat diseru untuk bekerjasama memantau perkara seperti ini dan melaporkan sebarang maklumat kepada Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999.

Kerjasama antara Maritim Malaysia dan komuniti perlu dieratkan demi memastikan perairan Negeri Kedah dan Perlis sentiasa aman dan terpelihara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com