Monday, 14, October, 2024
Utama Negeri Bot nelayan pukat tunda ditahan miliki alat komunikasi tidak berdaftar

Bot nelayan pukat tunda ditahan miliki alat komunikasi tidak berdaftar

oleh Ammar Haziq
Bot nelayan pukat tunda tersebut…

ALOR SETAR– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana memiliki alat komunikasi tidak berdaftar pada jarak sekitar 2.3 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah pada jam 7.20 petang 1 April lepas.
 
Pengarah Maritim Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, tangkapan bot nelayan tempatan berkenaan dilakukan oleh bot ronda milik Maritim Malaysia semasa rondaan rutin Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah.
 
Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan berkenaan sedang dalam perjalanan balik ke pangkalan tersebut memiliki dua alat komunikasi jenis radio Very High Frequency (VHF) yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
 
Bot bersama seorang tekong dan dua kru masing-masing warga Thailand dan Kemboja itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.
 
Kes akan disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana tidak mempunyai surat kebenaran menggunakan alat komunikasi dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.
 
Tindakan tegas boleh diambil kepada semua pengusaha bot yang cuba melanggar undang-undang yang telah ditetapkan.

Maritim Malaysia akan terus komited dan menggandakan usaha dalam melakukan operasi dan pemantauan di sepanjang perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang terutamanya menjelang musim perayaan aidilfitri tidak lama lagi.

Pihak Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com