Friday, 19, April, 2024
Utama Umum Ops Tiris : dua lelaki ditahan seleweng minyak diesel

Ops Tiris : dua lelaki ditahan seleweng minyak diesel

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara
Hidup Negeri Kedah (KPDN) telah menerima satu serahan kes daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi berkaitan penyelewengan minyak diesel sekitar jam 3.00 petang pada Isnin.

Pengarah KPDN Negeri Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, PPM telah menahan sebuah motorlori jenama Daihatsu bernombor pendaftaran tempatan di salah sebuah Stesen Minyak di Jalan Dato’ Syed Omar, Kg Teluk Bagan, Alor Setar, Kedah yang sedang mengisi minyak diesel dalam keadaan yang mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut telah menemui sejumlah minyak diesel dalam anggaran 2,000 liter dalam tangki yang diubahsuai yang disyaki digunakan untuk penyelewengan.

“Sebuah motorlori jenama Daihatsu bernombor pendaftaran tempatan turut disita untuk siasatan lanjut. Antara barangan lain yang turut disita adalah satu unit mesin pam minyak dan tiga unit hos paip.

“Anggaran nilai rampasan minyak diesel adalah sebanyak RM4,300, manakala anggaran nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM20,200. Dua lelaki warganegara tempatan yang berusia dalam lingkungan 20-an yang merupakan pemandu dan kelindan motorlori berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Affendi berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com