Thursday, 28, March, 2024
Utama Negeri BDB dianugerahkan kontrak penyelenggaraan jalan bernilai RM204 juta

BDB dianugerahkan kontrak penyelenggaraan jalan bernilai RM204 juta

oleh Ammar Haziq
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan BDB, Mohd Sobri Hussein (dua kiri) menerima Surat Setuju Terima Kontrak Penyelenggaraan Jalan-Jalan Negeri Di Negeri Kedah Darul Aman Bagi Tempoh 36 Bulan Zon 1 (Daerah Kota Setar).

ALOR SETAR: Bina Darulaman Berhad (BDB) hari ini mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, BDB Infra Sdn Bhd (BDB Infra) telah dianugerahkan kontrak penyelenggaraan jalan-jalan negeri bernilai RM204 juta setelah menerima Surat Setuju Terima (SST) daripada
Kerajaan Negeri Kedah.


Projek penyelenggaraan tersebut adalah untuk tempoh 36 bulan bermula 15 Mei 2023 sehingga 14 Mei 2026 dan melibatkan zon 1 iaitu daerah Kota Setar, Padang Terap/Pokok Sena, Kubang Pasu, Pendang, Yan dan Sik.


Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata penganugerahan tersebut merupakan pengiktirafan kepada Kumpulan BDB dan BDB Infra di atas pencapaian dan rekod kerja yang baik yang telah dilaksanakan sepanjang projek-projek penyelenggaraan
sebelum ini.


“Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah S.W.T di atas penganugerahan ini dan ia menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Kedah yakin dengan kemampuan yang dimiliki oleh Kumpulan BDB dan kami akan melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang besar ini dengan sebaik mungkin.


“Penganugerahan projek juga dijangka akan turut memberi impak yang positif kepada pendapatan per saham syarikat untuk tempoh kewangan 2023 hingga 2026,” katanya dalam
kenyataan di sini.

BDB Infra merupakan kontraktor Gred G7 yang mempunyai pengalaman dan rekod kerja yang cemerlang lebih lebih 50 tahun dalam pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan jalan raya serta kuari di utara tanah air.


Untuk rekod, BDB Infra sebelum ini pada 2020 juga telah dianugerahkan kontrak selama tiga tahun daripada Kerajaan Negeri Kedah bagi tujuan penyelenggaraan jalan di beberapa daerah
di negeri berkenaan.


Antara daerah yang terlibat adalah Kota Setar, Padang Terap/Pokok Sena, Kuala Muda, Sik, Kubang Pasu, Kulim/Bandar Baharu, Pendang, Yan, dan Baling.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com