Tuesday, 16, April, 2024
Utama Nasional Lima perkara ditawarkan Kerajaan Perpaduan jika berjaya ambil alih Kedah

Lima perkara ditawarkan Kerajaan Perpaduan jika berjaya ambil alih Kedah

oleh Ammar Haziq
Zahid (tengah).

ALOR SETAR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lima perkara digariskan Kerajaan Perpaduan yang akan memberi keutamaan untuk rakyat Kedah sekiranya gabungan Pakatan Harapan PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya mengambil alih negeri itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Perkara tersebut membabitkan perniagaan agro, pendidikan maahad tahfiz, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), bekalan air dan menaik taraf kemudahan telekomunikasi bagi meningkatkan ekonomi dan keupayaan modal insan di negeri Ini.

“Tumpuan kepada agro business, dan ini bukan hanya soal keterjaminan makanan dan menjadikan Kedah terus sebagai negeri padi. Tetapi ialah keberhasilan produktiviti kepada usahawan padi, keberhasilannya mesti dipertingkatkan.

“Untuk itu, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sudah pasti akan mencari metodologi atau kaedah baharu bagi mempertingkatkan keberhasilan.

“Sawah padi harus dibela bukan hanya dengan soal harga padi, tetapi soal baja dan lain-lain bantuan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah di Alor Setar pada Ahad.

Hadir sama Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, isu air di Kedah untuk penggunaan domestik akan ditangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

Tambahnya, usaha meningkatkan kemudahan telekomunikasi di kawasan luar bandar dengan liputan rangkaian 5G akan turut diberikan penekanan.

“Kawasan luar bandar saya telah memberikan penekanan agar kawasan luar bandar jangan pernah tertinggal dan dipinggir untuk mendapat liputan ataupun roaming coverage bagi 5G ini dan kita akan lakukan koordinasi khususnya di kawasan luar bandar, kawasan pemeriksaan, saya sendiri akan memantau,” ujar beliau lagi.

Tambahnya, lima perkara yang dinyatakan itu bukan manifesto yang akan dimasukkan bagi menghadapi PRN negeri tersebut kerana ia akan lebih mudah dilaksanakan sekiranya menang di Kedah. – Kedah Gazette

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com