YAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan jentera Kerajaan Perpaduan tidak terlalu bersikap defensif dalam menghadapi serangan pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan memiliki pendirian yang harus dipegang antaranya menyelamatkan negara dan menjamin perpaduan serta keadilan.
Kata Perdana Menteri, pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO tidak boleh mengalah tetapi perlu melawan dan menyerang kembali secara habis-habisan.
“Saya harap kita faham, kita jangan defensif, saya tengok kadang-kadang strategi kita berkempen ini terlalu defensif. Dulu propaganda dia (Perikatan Nasional) ‘bersih’ dan kita pula tak jawab banyak, rupa-rupanya tertanam di sebahagian anak-anak muda kita, memang betul ‘bersih’.
“Saya Menteri Kewangan, tengok fail-fail. Saya dulu Ketua Pembangkang, memang serang kuat, tapi tak terjangkau apa yang mereka lakukan dengan perjudian haram, orang kata biasa, masa UMNO setakat lapan (cabutan khas), masa PN naik kepada 22.
“Masa kita, saya dengan Datuk Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) antara langkah pertama kita turunkan kembali (cabutan) kepada lapan, ini bukan perkara kecil dan ini menyebabkan kita mengalah,” katanya semasa berucap pada program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Guar Chempedak, di sini.