Wednesday, 15, May, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Kes Ahmad Zahid: ‘Keputusan bekas Peguam Negara, bukan arahan saya’ – Anwar

Kes Ahmad Zahid: ‘Keputusan bekas Peguam Negara, bukan arahan saya’ – Anwar

oleh Ammar Haziq

SRI PETALING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan, beliau tidak pernah campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Malah Anwar juga menegaskan beliau tidak memberi arahan kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, berkaitan permohonan menghentikan prosiding yang mendorong kepada keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) terhadap Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan.

“Saya nak jelaskan, tidak ada arahan (kepada) peguam negara masa itu, Tan Sri Idrus. Dia terlibat dalam meneruskan pendakwaan, kemudian dia baca (teliti) dokumen bocor yang ditulis oleh Jabatan Peguam Negara yang menyatakan tak bersetuju dengan pendakwaan.

“Dia juga lihat beberapa fakta baharu (representasi Ahmad Zahid) 200 halaman yang dikemukakan. Dia juga lihat percanggahan.

“Tentunya saya sebagai perdana menteri tahu kesan dan tuduhan yang dilemparkan (susulan pihak pendakwaan dan mahkamah berkaitan kes Ahmad Zahid). Saya terpaksa tanya panjang kepada Peguam Negara kenapa keputusannya begitu, mengapa sekarang.

“Jadi kalau tanya saya… kalau saya ada kuasa… saya nak tangguh. Sebab apa? Saya nak lepaskan semua pilihan raya ini (untuk elak tuduhan kepada kerajaan)… kemudian Peguam Negara jalankanlah (mohon henti prosiding) tetapi Peguam Negara tak bersetuju.

“Peguam Negara kata tarikh awal mahkamah ialah 4 dan 5 September… hari akhir beliau (tamat kontrak).

“Jadi beliau jalankan tanggungjawab. Dia tak mahu lepaskan tanggungjawab yang dia uruskan kepada yang lain. Saya tak boleh halang dan saya baca kenyataan… sebahagiannya benar, sebahagiannya (saya) lahirkan rasa kesangsian dan minta penjelasan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Sri Petaling.

Anwar menjelaskan, adalah tidak adil untuk mana-mana pihak yang mempunyai kuasa menjatuhkan hukuman semata-mata kerana tidak suka kepada seseorang ahli politik.

Ujar beliau, banyak kes sebelum ini yang terlepas daripada hukuman sama ada sebelum perbicaraan atau selepas perbicaraan.

Anwar juga menjelaskan, walaupun Badan Kehakiman tertakluk kepada kertas pendakwaan, namun hakim masih ada budi bicara.

“Seperti mana yang saya sebutkan berulang kali, boleh semak Peguam Negara yang dulu dan sekarang, boleh semak Ketua Hakim Negara… dalam kes apa yang saya campur? Tapi bila kena tokoh yang tertentu, ia jadi isu.

“Jadi saya nak nasihatkan, rakyat umumnya berhak bertanya, berhak ambil tahu dan jawapannya… perlu membaca kenyataan sepenuhnya. Tetapi janganlah fitnah. Janganlah kata ini arahan perdana menteri dan sebagainya,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com