Saturday, 4, May, 2024
Utama Negeri BDB Energy, Pumar Solar Power jalin kerjasama teroka industri solar

BDB Energy, Pumar Solar Power jalin kerjasama teroka industri solar

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – BDB Energy Sdn Bhd (BDB Energy), syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE) yang dimiliki Bina Darulaman Berhad (BDB), mengumumkan kerjasama dengan Pumar Solar Power Sdn Bhd (PSP) dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meneroka industri tenaga solar di Malaysia yang mana ia merupakan langkah strategik dalam merealisasikan komitmen BDB Energy mempromosikan sumber RE serta mengurangkan jejak karbon.


MoU berkenaan turut menetapkan terma kerjasama mengeksplorasi peluang tenaga solar dengan memberikan tumpuan khusus di Kedah dan negeri-negeri berpotensi lain di Malaysia dan cukup bermakna bagi BDB Energy kerana ia sejajar dengan objektif perniagaan strategik syarikat.


Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata kerjasama tersebut selari dengan pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) oleh Kerajaan Persekutuan yang menetapkan sasaran RE sebanyak 40% menjelang 2035 dan seterusnya 70% menjelang 2050.


Menurut beliau, bagi mencapai sasaran berkenaan ia memerlukan sokongan dan kerjasama yang kolektif di setiap negeri di Malaysia dan BDB menerusi BDB Energy akan turut memainkan peranan bagi membolehkan sektor berkenaan berkembang di Kedah bagi
memastikan kemajuan negara ke arah masa depan yang mampan.


“MoU yang ditandatangani antara BDB Energy dan PSP ini menunjukkan komitmen kukuh
kedua-dua pihak untuk memanfaatkan tenaga solar dan sumber RE lain yang memberikan
impak positif kepada alam sekitar serta mempromosikan amalan perniagaan mampan.

“Ini sejajar dengan Teras Keenam Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang memfokuskan pada “Kemampanan Alam Sekitar” dan akan turut diaplikasikan merentas pelbagai portfolio Kumpulan BDB.


“Kerajaan Negeri Kedah turut menggariskan enam inisiatif untuk menjayakan Teras Keenam berkenaan di mana salah satu daripadanya ialah penetapan garis panduan kelestarian alam sekitar dalam perancangan pembangunan di mana BDB Energy boleh memainkan peranan untuk mencapai sasaran berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata demikian selepas menandatangai MoU antara BDB Energy dan PSP yang diadakan di Hotel Raia, Alor Setar.


Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pengerusi BDB, Sr Haji Che Had Dhali, pengurusan kanan Kumpulan BDB, Ketua Pegawai Eksekutif PSP, Nor Azam Kamisan, serta Ketua Pegawai Kewangan PSP, Masliza Abu Bakar.


Dalam pada itu, Raja Shahreen menjelaskan bahawa kepakaran BDB Energy mempunyai
beberapa bidang kepakaran utama iaitu Penjanaan dan Penghantaran Kuasa Elektrik,
Pengeluaran Tenaga Boleh Diperbaharui, Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan
Pentauliahan (EPCC), Pembangunan Suria, Pengendalian Kemudahan Penjanaan Boleh
Diperbaharui, Penyelenggaraan dan Penyelesaian Kecekapan Tenaga.


“MoU ini menandakan pendekatan strategik BDB Energy untuk menggunakan kepakaran
teknikal PSP dan kehadiran pasaran yang mapan untuk mempercepat pertumbuhan dalam sektor RE. Dengan kerjasama ia akan dapat menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau, penggunaan teknologi RE dan mempromosikan pembangunan mampan.


“Kerjasama strategik ini lebih mengukuhkan visi bersama kedua-dua syarikat untuk
mendorong penyelesaian tenaga mampan di Malaysia dan di luar negara,” katanya

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com