Tuesday, 30, April, 2024
Utama Viral Lelaki parah diserang gajah masih dirawat di hospital

Lelaki parah diserang gajah masih dirawat di hospital

oleh Ammar Haziq

GERIK – Malang buat seorang lelaki apabila diserang gajah liar semasa mencari tempat untuk membuang air besar berhampiran Tugu Peringatan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini pada Khamis.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, kejadian berlaku sekitar jam 7 malam semasa mangsa berusia 55 tahun singgah di lokasi tersebut kerana sakit perut.

Menurutnya, nasib tidak menyebelahi mangsa kerana terserempak dengan mamalia berkenaan.

“Akibat serangan itu, mangsa mengalami patah tulang kaki dan tujuh tulang rusuk dan menerima rawatan di Hospital Gerik sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh,” katanya.

Nasib yang menimpa mangsa dikenali Ahmad Nazri Osman, 55, turut mendapat perhatian Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Saarani meluangkan masa menziarahi mangsa yang berasal dari Felda Bersia, Gerik dan ahli keluarga di HRPB pada Jumaat.

“Dikejutkan dengan berita lelaki parah dipijak gajah di Batu 11 dekat Tugu Peringatan, Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli. Petang tadi saya terus ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk melihat keadaan sebenar mangsa.

“Saya difahamkan, Ahmad Nazri Osman yang berasal dari Felda Bersia mengalami patah rusuk, tulang kaki kiri dan pendarahan kepala. Sempat beri kata semangat kepada ahli keluarga yang diuji dengan cabaran di sebalik meraikan Aidilfitri,” katanya pada hantaran di Facebook pada Jumaat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com