Sunday, 5, May, 2024
Utama Negeri Peniaga pasar malam di Kedah henti niaga 15 minit waktu Maghrib

Peniaga pasar malam di Kedah henti niaga 15 minit waktu Maghrib

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Kerajaan Kedah mengarahkan semua penjaja pasar malam di negeri ini memberhentikan operasi perniagaan sementara bagi menghormati waktu solat Maghrib bermula 1 Mei ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria, berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah pada 21 Februari 2024 bersetuju untuk memberhentikan operasi perniagaan semasa waktu Maghrib.

Menurutnya, tempoh itu bermula lima minit sebelum masuk waktu dan 10 minit selepas masuk waktu solat Maghrib.

“Berdasarkan keputusan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi notis kepada semua penjaja pasar malam untuk mematuhi arahan tersebut bermula 1 Mei depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas tular notis pemberitahuan berkenaan kepada penjaja pasar malam di sekitar daerah Kulim.

Tambahnya, arahan dikeluarkan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim melalui pekeliling bertarikh 21 April 2024.

Mansor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil berkata, arahan itu dikeluarkan bagi menghormati waktu Maghrib dan memberi ruang kepada peniaga dan orang ramai untuk mendirikan solat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com