Saturday, 15, June, 2024
Utama Sukan Pra-Tonton Program Realiti Bola Sepak `The Next Supermokh’  suka dalam duka

Pra-Tonton Program Realiti Bola Sepak `The Next Supermokh’  suka dalam duka

oleh Ammar Haziq

ALOR STAR – Majlis Pra-Tonton Program Realiti Bola Sepak `The Next Supermokh’ di House Of Sang Kenari, Alor Star berlangsung dalam keadaan penuh keterujaan dan sedih apabila melihat watak utama dalam program ini, ketua jurulatih Allahyarham Mohd Azraai Khor Abdullah.

Majlis Pra-Tonton episod pertama program The Next Supermokh ini juga sebagai mengenang penghargaan Allahyarham Mohd Azraai dalam program ini. Majlis disertai oleh pasukan pengurusan dan jurulatih program ini, balu dan keluarga serta sahabat rapat Allahyarham serta peminat bola sepak negeri Kedah.

The Next Supermokh adalah program Realiti Bola Sepak Pertama di RTM. Program 60 minit untuk 13 Episod ini akan disiarkan di RTM bermula 1 June 2024 (pada setiap Sabtu jam 4 petang dan ulangan Khamis jam 9.00 malam).

Program realiti ini yang berakhir pada March 2023 di Thailand diketuai oleh jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah dan ini adalah sentuhan terakhir yang amat berharga daripada Allahyarham dalam sumbangannya mencungkil bakat ubi muda bola sepak di seluruh negara.

Majlis dimulakan dengan tahlil kepada Allahyarham yang meninggal dunia pada awal Februari lalu.


Ia kemudian disusuli dengan tayangan program The Next Supermokh yang bersiaran untuk episod pertama di RTM.

Ketika wajah dan kelibat Allahyarham muncul di layar, semua hadirin kelihatan sedih.

Keluarga Allahyarham dan beberapa rakan rapatnya juga kelihatan menitiskan air mata.

Pengarah Teknikal Kedah Darul Aman FC, Nelson San Martin yang begitu rapat dengan Allahyarham Azraai ketika bersama dalam pasukan yang menjuarai `Double Treble’ 2007 & 2008 juga bersama dalam majlis ini bersama keluarganya dan kelihatan hiba apabila melihat paparan Allahyarham Azrai.

Turut hadir dalam program ini ialah kesemua barisan jurulatih yang terlibat dalam program pencarian bakat ini yang berlangsung pada awal tahun lalu.

Mereka ialah jurulatih penjaga gol, Ahmad Sobri Ismail, penolong jurulatih,  Raja Shaharul Amri Raja Adzhar, Pengarah Teknikal,  Haji Mohd Fuad Abdullah dan Pengarah Program, Dato’ Jasni Shafie.

The Next Supermokh adalah Program Realiti Bola Sepak Pertama di RTM. Program 60 minit untuk 13 Episod ini disiarkan di RTM di Saluran Sukan HD bermula 1 Jun 2024. Siaran pada setiap Sabtu (jam 4.00 petang) dan Khamis Jam 9.00 malam (siaran ulangan).

Lebih 1500 orang pemain menyertai ujian di empat zon di seluruh negara dan 36 pemain dipilih ke latihan pusat sebelum membentuk skuad 18 pemain yang dibawa ke Thailand untuk menyertai latihan pendedahan antarabangsa serta perlawanan menentang pasukan akademi kelab Liga 1 Thailand, PT Prachuap FC.

“Kami berbangga dengan program pencarian bakat muda ini. Lebih membanggakan ialah beberapa pemain yang dipilih dan digilap oleh Coach Azraai telah mendapat tempat dalam pasukan Piala Presiden dan Belia kelab-kelab di tanahair seperti Melaka, Perlis dan Perak,’’ kata pengarah dan penerbit program, Dato’ Jasni Shafie.

Beliau yang juga kelihatan sedih dalam majlis ini mengungkapkan segala tunjuk ajar dan bimbingan yang diberikan oleh Allahyarham Azraai dalam program ini akan menjadi peninggalan dan panduan berguna yang akan ditonton oleh seluruuh peminat bola sepak, terutamanya pemain-pemain muda.

“Ia akan menjadi suatu dokumentasi yang amat berharga untuk generasi akan datang kerana dalam program ini Allahyarham berkongsi segala ilmu yang selama ini diperturunkan kepada pemain-pemain di bawah bimbingannya,’’ kata Dato’ Jasni yang juga wartawan serta pengulas sukan berpengalaman.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com