Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Kayuh basikal sebar risalah bina pusat jagaan warga emas RM2.2 juta

Kayuh basikal sebar risalah bina pusat jagaan warga emas RM2.2 juta

oleh Ammar Haziq

JITRA – Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka, Kubang Pasu (PEWARIS) melantik Saad Nordin sebagai “duta” untuk menyebar risalah badan bukan Kerajaan (NGO) itu sempena Kayuhan Solo Kemerdekaan di Semenanjung bermula pada 2 Ogos Lau.

Setiausaha PEWARIS, Azmi Mat Napiah memberitahu, pemilihan Saad seorang pengayuh basikal yang telah mengelilingi Malaysia beberapa kali adalah tepat kerana beliau berpengalaman dan mengenali Masyarakat setempat yang bakal dikunjunginya.

Azmi berharap dengan tersebarnya risalah ini ke seluruh Malaysia, masyarakat akan mengetahui peranan PEWARIS dan Pusat Jagaan Warga Emas.

Katanya PEWARIS adalah sebuah NGO yang mengurus sebuah Pusat Jagaan Warga Emas.

Menurut beliau, PEWARIS sedang mengumpul dana bagi membina sebuah kompleks Pusat Jagaan Warga Emas di sebidang tanah yang telah dibeli di Bukit Napai, Mukim Binjai, Jitra, Kedah yang dianggarkan kos bernilai RM2.2 juta.

Oleh itu Azmi berharap, penyebaran risalah PEWARIS, yang dibuat oleh Saad akan memberi ruang kepada Masyarakat untuk menyalurkan sumbangan melalui akaun yang tertera dalam risalah berkenaan.

Beliau turut memberitahu, buat sementara waktu warga emas yang diuruskan oleh PEWARIS, ditempatkan disebuah asrama sementara yang disewa di Kampung Lahar, Mukim Malau, Jitra, Kedah.

Sementara itu Saad Ketika ditemui memberitahu beliau terbuka hati untuk membantu PEWARIS menyebar risalahnya kerana amat bersimpati dengan warga emas yang tersisih dari keluarga dan yang menjadi gelandangan.

Menurut Saad, sepanjang kayuhannya seluruh Malaysia beberapa kali sebelum ini, beliau amat sedih melihat warga emas yang terbiar tanpa pembelaan dan tiada tempat tinggal.

“Saya mendengar dan melihat sendiri rintihan mereka sepanjang kayuhan, namun apa daya saya untuk membantu, jadi dengan kepercayaan diberi oleh PEWARIS saya harap sekelumit bantuan yang saya beri sepanjang kayuhan ini, masyarakat dan dermawan dapat menghulur bantuan atau derma kepada PEWARIS.

“Semoga kayuahan ini berjaya membantu PEWARIS mengumpul dana bagi mendiri Komplek Pusat Jagaan Warga Emas”.

Saad turut memberitahu, kayuhan solo kemerdekaan akan bermula pada 2 Ogos di Padang Serai, Kedah dan dijangka berakhir pada 16 September iaitu Hari Malaysia di Asrama Sementara Pusat Jagaan Warga Emas di Kampung Lahar, Mukim Malau, Jitra, Kedah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com