Tuesday, 17, September, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Mayat dua wanita ditemukan dalam longkang, dipercayai dua beranak

Mayat dua wanita ditemukan dalam longkang, dipercayai dua beranak

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Dua mayat yang ditemukan di dalam longkang si belakang sebuah bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini pada Isnin seorang perempuan dewasa dan seorang kanak kanak dipercayai dua beranak.

Mangsa masing-masing berusia 34 dan 10 tahun itu ditemui oleh orang awam sebelum menghubungi polis pada jam 5.04 petang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad, pasukan penyiasat telah dihantar ke lokasi bagi melakukan siasatan awal mendapati kedua-dua mayat yang lengkap berpakaian tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

“Kedua-duanya ditemui mati dalam keadaan tertiarap dan terlentang berdekatan antara satu sama lain di dalam longkang kecil, dengan kesan kelar pada leher kedua-dua mayat,” katanya dalam satu kenyataan pada pagi Selasa.

Jelas beliau, kedua- dua mangsa yang dipercayai warganegara asing itu kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi tujuan bedah siasat.

Menurutnya, hasil risikan pantas yang dilakukan, polis berjaya menahan seorang lelaki warganegara asing berusia 43 tahun yang juga merupakan suami dan bapa kepada mangsa bagi membantu siasatan.

“Lelaki ini berjaya ditahan di Masjid Bukit Pinang pada jam 9 malam pada Isnin. Polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti motif kejadian,” ujarnya.

Tambahnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar pada Selasa bagi tujuan permohonan tahanan reman untuk meneruskan siasatan lanjut.

“Polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat.

“Polis juga meminta kerjasama daripada individu atau pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk tampil memberi keterangan di mana- mana balai polis berhampiran, atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar, ASP Faizul Izuan Harun di talian 047747222,” katanya lagi.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com