Thursday, 12, December, 2024
Utama Sukan Masalah kewangan : apa hasil pertemuan KDA FC dan MB Kedah?

Masalah kewangan : apa hasil pertemuan KDA FC dan MB Kedah?

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – UMNO Kedah mempersoalkan apa hasil pertemuan Kedah Darul Aman (KDA) FC bersama Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor  yang sepatutnya memberi khabar gembira buat semua pemain berhubung masalah kewangan kelab itu.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, di sebalik desas-desus syarikat luar yang mahu membeli kelab tersebut, pihaknya masih percaya  mekanisme terbaik ada campurtangan kerajaan negeri melalui anak-anak syarikat yang mempunyai struktur kewangan yang kukuh diimbangi pelan jangkamasa panjang yang menyakinkan.

Menurutnya, UMNO Kedah yakin model yang dilakukan oleh Selangor FC adalah satu panduan terbaik bagi mana-mana model pengurusan komersial sebuah kelab bolasepak.

“UMNO Kedah tertanya-tanya apakah hasil daripada pertemuan pihak KDA FC bersama Menteri Besar yang sepatutnya memberi khabar gembira buat semua pemain.

“Pemulihan KDAFC adalah sangat penting bagi memastikan kelangsungan bolasepak negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelas beliau, pihaknya memohon agar pemilik pasukan KDA FC lebih berhati-hati memilih rakan kongsi bagi pembiayaan dan operasi pasukan bolasepak Kedah yang sedang berhadapan dengan krisis kewangan.

Menurutnya, niat yang ditunjukkan sebuah syarikat dikenali DSAT Group harus dinilai secara mendalam (due diligence) daripada aspek komersial dan keupayaan kewangan syarikat yang menunjukkan minat itu sendiri.

“UMNO Kedah bimbang, kemelut gaji dan kewangan KDAFC dilihat sebagai satu peluang untuk pihak-pihak tertentu bagi mencipta “populariti” segera bagi tujuan lonjakan pasaran syarikat tersebut.

“UMNO Kedah menasihatkan agar pihak pengurusan KDAFC yang di anggotai oleh beberapa ahli lembaga pengarah ‘bisu’jangan membuat sebarang penjualan ‘panik’ dibimbangi ianya akan menjejaskan masa depan syarikat secara kekal,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com