Thursday, 12, December, 2024
Utama Nasional Pusaka Gayong julang juara keseluruhan Piala Datuk Zuraidi Rahim

Pusaka Gayong julang juara keseluruhan Piala Datuk Zuraidi Rahim

oleh Ammar Haziq

Alor Setar – Kejayaan Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) meraih 43 pingat melalui 18 pingat emas, 11 (perak) dan 14 (gangsa) menyaksikan mereka diumum sebagai 
juara pada saingan Kejuaraan Silat Terbuka Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa 2024 Piala Datuk Zuraidi Rahim, Harimau Chula Sakti.

Kejayaan itu menyaksikan mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.

Naib juara menjadi milik Kelab Silat Sriwira Malaysia yang meraih tiga pingat emas, empat perak dan sembilan gangsa untuk membawa pulang RM5,000 manakala ketiga milik Zura Akademi Fighter (ZAF) tiga pingat emas, empat perak dan empat 4 gangsa bagi meraih hadiah RM1,000.

Kejohanan yang disertai 2,000 peserta silat tempatan termasuk antarabangsa
bermula sejak 31 Oktober hingga 4 November 2024 di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini.

Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Pesaka Kedah serta Pertubuhan Silat Pusaka Gayong Malaysia.

Menurut Penaung Pesaka Kedah, Zuraidi, penganjuran tersebut bertujuan menggilap bakat anak-anak kecil bermula lima tahun hingga ke peringkat yang melayakkan mereka ke peringkat lebih jauh seperti Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun 2026.

Menurutnya, penganjuran ini adalah satu impak besar dalam dunia silat tempatan selepas 23 tahun, yang mana tidak pernah berlaku sebelum ini dalam skala besar demi memartabatkan dunia persilatan yang diwarisi di negara ini.

“Dalam perkembangan selama lima hari penganjuran kejohanan ini saya amat bersyukur kerana nampak hasil bakat baharu seawal lima tahun hingga ke peringkat remaja dan pelapis Sukma terdiri dari 17 hingga 19 tahun yang berkebolehan dan boleh melakukan transformasi bagi mewakili peringkat negeri Kedah, kebangsaan dan juga antarabangsa.

“Dengan sokongan yang diterima ini saya berhasrat untuk menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan dengan skala yang lebih besar serta bermakna untuk anak-anak Pesaka dalam dunia persilatan selain menarik jemputan dari Eropah untuk tampil ke Kedah bersama Pesaka Malaysia dan sebagai tuan rumah pada acara tahun depan.

“Dengan skala lebih besar itu juga kejohanan ini akan menjadi siulan kepada seluruh dunia persilatan di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas kejohanan tamat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com