Thursday, 12, December, 2024
Utama Umum Pempengaruh TikTok terima anugerah Pelajaran Diraja UUM nasihat belia utamakan pendidikan

Pempengaruh TikTok terima anugerah Pelajaran Diraja UUM nasihat belia utamakan pendidikan

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Penerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Utara Malaysia (UUM), Emina Kulasic Bong Ei Min, menasihatkan golongan muda agar tidak terpengaruh dengan media sosial dan memberikan keutamaan kepada pendidikan demi masa depan.

Graduan Pengurusan dan Hal Ehwal Antarabangsa berusia 24 tahun ini merupakan pempengaruh di TikTok dengan 59,200 pengikut.

Walaupun aktif di media sosial, beliau memberikan penekanan kepadan pendidikan sebagai keutamaan, manakala kerjaya sebagai pempengaruh hanyalah alternatif dan kerja sampingannya sahaja.

“Nasihat saya, jangan jadikan impian menjadi ‘influencer’ sebagai matlamat utama. Saya sendiri tidak pernah sasarkan hal ini. Satu hari, saya bangun dan lihat ramai yang mula ikut saya di TikTok. Jadi, saya sarankan semua untuk ada pelan A dan pelan B.

“Pendidikan seharusnya menjadi tumpuan utama. Melalui pendidikan, kita boleh mencapai lebih banyak, menginspirasi orang lain, dan berkongsi ilmu. Itu langkah pertama yang paling penting,” katanya selepas Majlis Konvokesyen UUM ke-37 pada Ahad.

Anak tunggal dari Sarikei, Sarawak, ini dibesarkan oleh makciknya menyatakan penglibatannya di media sosial adalah untuk menginspirasi generasi muda tentang pentingnya pendidikan formal.

Menurutnya, apabila kita memperbaiki diri melalui pendidikan tinggi, orang lain juga akan terdorong melakukan hal yang sama. “Bila masyarakat terdorong mengejar pendidikan dan perkembangan diri, mereka akan ikut teladan yang baik.

Beliau turut berkongsi mengenai pembahagian masa sebagai Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM sebelum ini dan pemilihan bidang yang diminati, kerjasama baik pensyarah dan rakan kuliah adalah kunci kejayaannya.

Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja UUM, Muhammad Shuib Rosli, 23, menyifatkan pengurusan masa penting, terutama semasa mengikuti kelas dalam talian ketika pandemik Covid-19.

Graduan Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan Dengan Kepujian ini merancang melanjutkan pelajaran ke peringkat pascasiswazah dan kini bekerja sebagai penterjemah buku bebas sementara menunggu tawaran kerjaya stabil.

“Selepas ini saya bercita-cita melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan PhD jika ada tawaran biasiswa,” katanya yang berasal dari Kulim, Kedah.

Pingat Emas Canselor dikurniakan kepada graduan Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Dengan Kepujian, Nur Eina Athirah Norazman, 23. Penerima Anugerah Pelajaran Diraja menerima wang tunai RM7,500 berserta sijil, manakala penerima Pingat Emas Canselor menerima wang tunai RM4,000 berserta sijil.

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, merasmikan sesi pertama daripada lima hari konvokesyen, dengan 6,742 graduan kelas 2024 menerima ijazah mereka.

Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan, berkata daripada jumlah tersebut, 5,539 adalah graduan ijazah sarjana muda dan 1,126 graduan pascasiswazah. Daripada 5,539 graduan ijazah sarjana muda, 1,681 mendapat keputusan kelas pertama, dengan 84 graduan menerima anugerah kecemerlangan akademik dan pingat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com