Thursday, 12, December, 2024
Utama Negeri Pengusaha donut ‘berayaq’ terima kecaman netizen mohon maaf

Pengusaha donut ‘berayaq’ terima kecaman netizen mohon maaf

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Pengusaha donut susu tampil memohon maaf melalui satu video di TikToknya dan menerima segala teguran berkaitan video mereka yang menerima keceman netizen.

Jelasnya, video yang tular tersebut dan dikriktik oleh pelbagai pihak bukanlah idea mereka sebaliknya hanya melakonkan apa yang diarahkan sahaja.

Pengusaha donut berayaq itu menjelaskan, mereka juga telah menukar nama ‘Donut Susu Berayaq’ kepada ‘Bertanah Donut Susu’.

“Untuk pengetahuan semua, ‘berayaq’ bermaksud doh kami yang cair dan bila makan donut cair di dalam mulut. ‘Jet’ itu adalah bermaksud terajang. Dan untuk pengetahuan semua, ‘cirit’ bukanlah tagline dari kami.

Video yang telah tular baru-baru ini bukanlah idea dari kami untuk bercakap tentang perkara itu. Kami hanya melakonkan apa yang diarahkan. Semoga menjawab semua persoalan”.

“Kami menerima segala teguran dari kalian, dan nama kedua-dua akaun kami telah bertukar kepada ‘Bertanah’,” katanya menerusi satu hantaran di TikTok.

Tambah kenyataan itu lagi, pihaknya juga memohon maaf seandainya video mereka telah disalah tafsir oleh netizen yang menontonnya.

“Iklas dari kami, hanya Allah maha pemberi rezeki. Kami memaafkan semua yang komen menghina kami, Insya Allah kami akan perbaiki segala kelemahan,” katanya lagi.

Baru-baru ini, tular di laman sosial mengenai sebuah perniagaan yang menyertai festival makanan di kedah yang menggunakan tagline “Berayaq” untuk menjual produk donat.

Penggunaan kata-kata yang dianggap tidak senonoh dan menjijikkan ini telah menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat umum, terutama mereka yang prihatin terhadap perkembangan moral anak muda.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Kedah mengecam keras kaedah pemasaran yang tidak sihat ini, walaupun terdapat pandangan bahawa ‘bad marketing is still marketing’.

”Bagi kami, pandangan sebegini adalah tidak bertanggungjawab dan hanya merendahkan nilai moral. GPMS Kedah berpendapat bahawa terdapat banyak cara lain untuk mempromosikan perniagaan secara profesional, sopan, dan beretika.

“Sebagai salah satu pertubuhan belia tertua di Malaysia, kami amat bimbang dengan penggunaan tagline tidak senonoh yang semakin menular dalam kalangan belia.

Fenomena ini bukan sahaja mencemar nilai adab dan budaya bangsa tetapi juga menyumbang kepada penurunan nilai moral secara keseluruhan. Fenomena ini mesti dibendung sebelum menjadi budaya yang lebih luas dan membahayakan nilai-nilai adab dalam kalangan generasi muda,” kata Pengerusi GPMS Kedah, Izharul Khairi Taharuddin.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com