Thursday, 12, December, 2024
Utama Negeri Orang kaya jangan berebut mohon tanah dengan orang miskin – Sanusi

Orang kaya jangan berebut mohon tanah dengan orang miskin – Sanusi

oleh Ammar Haziq

YAN – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegur sikap sesetengah orang kaya yang sudah memiliki tanah tetapi masih mahu berebut memohon tanah kerajaan dengan golongan miskin di negeri ini.

Menurutnya, orang kaya sepatutnya membeli tanah di pasaran, bukan berebut dengan orang miskin yang tidak mampu membeli tanah dengan harga pasaran.

“Berilah peluang kepada mereka untuk mendapat tempat berteduh bagi keluarga mereka,” katanya pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri tersebut berkata demikian pada Majlis Penyampaian Geran dan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi Daerah Yan di Kompleks Guar Utama, di sini.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri komited membantu golongan kurang berkemampuan yang tidak memiliki tanah untuk dijadikan tapak rumah.

Jelasnya, kehidupan seseorang boleh berubah dengan memiliki tanah sendiri, kerana mereka tidak lagi perlu membayar sewa rumah.

“Kerajaan negeri telah melancarkan Projek Kampung Tersusun dikenali sebagai Pembangunan Desa Sejahtera yang diuruskan oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah dengan kerjasama Pejabat Daerah.

“Projek ini menyasarkan pemberian lot tanah tapak rumah kepada golongan yang kurang berkemampuan.

“Setakat ini, beberapa syarat dan kriteria telah ditetapkan dan lokasi projek Kampung Tersusun Desa Sejahtera di setiap daerah telah dikenal pasti.

“Pelancaran Desa Sejahtera yang pertama akan dilakukan di Kampung Perik, Daerah Padang Terap pada 20 November ini .Sebanyak 100 lot tanah akan dilupuskan kerajaan negeri kepada bakal penerima yang layak di daerah Padang Terap,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan juga menyediakan kemudahan Skim Rumah Mesra Rakyat yang mensyaratkan rumah dibina di atas tanah milik sendiri.

Kerajaan negeri berusaha menyelesaikan isu pemilikan tanah dalam tempoh yang munasabah walaupun melibatkan beberapa prosedur, undang-undang, dan proses yang memerlukan masa.

Penerima geran tanah dan LPS dinasihatkan supaya menghargai harta yang diterima dan mengusahakannya sebagai sumber rezeki.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com