Thursday, 12, December, 2024
Utama Sukan MB Kedah belum terima LOD saman RM1 bilion DSAT Group

MB Kedah belum terima LOD saman RM1 bilion DSAT Group

oleh Ammar Haziq

PADANG TERAP – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor belum menerima Surat Tuntutan (LOD) daripada DSAT Group Sdn Bhd setakat hari ini.

Menurutnya, saman yang dikemukakan oleh syarikat tersebut akan menjadi sejarah jika benar-benar berjumlah RM1 bilion yang didakwa berkaitan kenyataannya mengenai pengambilalihan pasukan bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 7 November lalu.

Namun, Muhammad Sanusi menegaskan bahawa kenyataannya mengenai pihak yang mahu mengambil alih kelab bola sepak itu adalah bersifat umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana syarikat atau individu tertentu.

“Saya tidak sebut nama dia, tidak sebut nama syarikat dia, saya pun tidak sebut siapa-siapa.

“Saya cuma sebut siapa nak ambil (alih KDA FC) jangan jadi scammer (menipu). Siapa makan cili dia rasa pedas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Lot Desa Sejahtera Daerah Padang Terap di Kampung Perik, Mukim Kurong Hitam, di sini.

Tambah beliau, kenyataannya dibuat kerana terdapat banyak usaha daripada pelbagai pihak untuk mengambil alih KDA FC, namun semuanya sekadar penipuan sahaja.

“Sebelum ini, sudah ada banyak cubaan nak mengambil alih tapi scam. Kita harap pengalaman itu tidak berulang. Itu komen adil daripada seorang Menteri Besar. Janganlah scam,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan DSAT Group memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Sanusi sebanyak RM1 bilion.

Pengerusi Eksekutif DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek, menjelaskan bahawa tindakan itu diambil susulan kenyataan Sanusi pada 7 November lalu semasa sidang media di Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).

Sanusi sebelum ini menyatakan bahawa beliau mengharapkan syarikat yang berminat untuk mengambil alih KDA FC agar benar-benar mempunyai kemampuan untuk menguruskannya.

Walaupun urusan pemilikan kelab itu tidak bersangkutan dengan kerajaan negeri, beliau tetap mengingatkan agar tidak berlaku sebarang penipuan dalam perkara tersebut.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com