KUBANG PASU – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa tiada insiden kebocoran data sebanyak 17 juta MyKad seperti yang didakwa oleh pengguna laman X, Fusion Intelligence Center @ StealthMole.
Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata semakan yang dilakukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan bahagian keselamatan teknologi maklumat menunjukkan dakwaan tersebut tidak benar.
“Dakwaan itu timbul daripada seorang pengguna media sosial yang mempamerkan beberapa MyKad dan mendakwa terdapat 17 juta kebocoran. Namun, semakan oleh JPN dan bahagian keselamatan teknologi maklumat mengesahkan tiada insiden tersebut,” katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.
Beliau mengulas laporan tentang data MyKad seramai 17 juta rakyat Malaysia yang didakwa bocor dan dijual di laman web gelap. Pengguna laman X, Fusion Intelligence Center @ StealthMole, mendakwa sampel MyKad Malaysia telah dikongsi secara terbuka di laman web gelap tersebut.
Saifuddin tiba di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi untuk meninjau keadaan mangsa banjir.
Beliau memberi jaminan bahawa integriti data, khususnya yang melibatkan maklumat penduduk, dijaga dengan baik.
“Kami meminta rakyat agar berhati-hati apabila menerima maklumat seperti ini. Mudah sekali untuk menyebarkan apabila hanya menunjukkan beberapa keping MyKad dan mendakwa terdapat 17 juta kebocoran.
“Lebih baik tidak disebarkan berita seperti ini,” ujarnya.