Monday, 17, February, 2025
Utama Mahkamah & Jenayah Dipenjara 12 tahun mengaku salah bakar lima motosikal

Dipenjara 12 tahun mengaku salah bakar lima motosikal

oleh Ammar Haziq

BALING – Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman selama 12 tahun kepada seorang penganggur, Afif Jazimin Jamaludin, 23, selepas mengaku bersalah tiga pertuduhan membakar motosikal di Kupang, dekat sini antara Disember 2024 dan 2 Januari lalu.

Hakim Najwa Che Mat menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan 12 tahun kepada tertuduh yang berasal dari Kampung Pisang itu.

Menurut pertuduhan pertama, Afif didakwa melakukan khianat api dengan membakar motosikal jenis Modenas Kris, SM Sport dan Honda EX5 milik penduduk di Kampung Pisang pada 24 Disember lalu.

Pertuduhan kedua melibatkan pembakaran motosikal jenis Honda EX5 di Kampung Jerai pada 27 Disember manakala pertuduhan ketiga melibatkan motosikal jenis Modenas Kriss di Kampung Hangus pada 2 Januari.

Afif didakwa di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 14 tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md Salleh mengendalikan kes, sementara Intan Nursyafina Baharudin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili tertuduh.

Dalam rayuannya, peguam tertuduh memohon hukuman penjara paling minimum kerana tertuduh masih bujang, anak sulung dari empat beradik dan tinggal bersama ibu bapa yang berusia 43 dan 52 tahun malah pengakuan salah tertuduh juga telah menjimatkan masa mahkamah.

Namun, hakim memutuskan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan berjalan secara berasingan dari tarikh ditangkap.

Sebelum ini media melaporkan berlaku kebakaran berturut-turut di Kupang yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk sejak Disember tahun lalu.

Suspek yang disyaki terlibat dalam sembilan kejadian kebakaran berjaya ditangkap polis pada 20 Januari dan Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh mengesahkan siasatan mendapati suspek mengaku membakar rumah dan 18 motosikal dengan nilai kerugian dianggarkan RM770,000.

Tindakan suspek dipercayai bermotifkan dendam akibat sering dibuli di tempat kerja.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com