Tuesday, 25, March, 2025
Utama Nasional Malaysia,Mesir tolak usaha halau rakyat Palestin

Malaysia,Mesir tolak usaha halau rakyat Palestin

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR:Malaysia dan Mesir menegaskan pendirian bersama menolak sebarang usaha menghalau rakyat Palestin dari bumi Gaza kerana langkah itu bakal memberi dampak buruk terhadap usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu disuarakan ketika beliau menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, semalam yang turut menyentuh perkembangan terkini isu kemanusiaan serta usaha pembangunan semula Gaza.

“Alhamdulillah, saya dan Presiden El-Sisi senada dalam pendirian menolak usaha menghalau rakyat Palestin keluar dari bumi Gaza.

“Langkah ini bakal memberi dampak buruk terhadap usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka,” katanya dalam satu hantaran melalui Facebook rasmi beliau, malam tadi.

Sementara itu, Anwar berkata beliau turut mengulangi pendirian Malaysia untuk terus membantu rakyat Palestin, terutama membabitkan bantuan kemanusiaan, perubatan dan pembangunan semula Gaza.

Katanya, Malaysia akan terus kekal menyokong perjuangan menuntut keadilan buat Palestin.

“Saya turut menzahirkan penghargaan terhadap pendirian Presiden El-Sisi dan Kerajaan Mesir yang terus menghulurkan bantuan serta mempermudah usaha Malaysia menyampaikan sumbangan dan perubatan kepada rakyat Palestin yang terkesan dengan serangan serta kekejaman genosid rejim Zionis Israel.

“Presiden El-Sisi turut menyatakan sokongan terhadap usaha digerakkan Jepun dan Malaysia untuk membangunkan semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama Asia Timur Untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).

“Gerakan membantu Palestin pasti lebih berkesan sekiranya lebih banyak negara bersolidariti dan bersama-sama dalam usaha ini,” katanya.

Baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan AS akan ‘mengambil alih’ Semenanjung Gaza dan membangunkannya semula, selain mahu rakyat Palestin dipindah keluar dari tanah air mereka itu secara kekal.

Hasrat kontroversi Trump itu mengundang kecaman meluas, dengan banyak pihak menyifatkannya sebagai pembersihan etnik dan jenayah perang.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan bahawa beliau dan El-Sisi turut membicarakan soal hubungan dua hala Malaysia-Mesir.

“Kami sekali lagi mengulangi komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan dan kebudayaan kedua-dua negara,” katanya.
Ends

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com