MARAN – Perjalanan empat beranak bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, Nurul Lara Maisarah Mohd Hafiz , maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dalam kemalangan di Kilometer 147.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1.40 petang ketika cuaca hujan, melibatkan sebuah Honda Civic dan Perodua Myvi .
Menurut beliau, siasatan awal mendapati Honda Civic yang dipandu ibu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelah kanan.
“Akibatnya, mangsa tercampak keluar ke laluan bertentangan dan jatuh mengenai cermin besar hadapan Perodua Myvi yang berada di laluan bertentangan. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Pekan Awah ,” katanya dalam kenyataan.
Superintenden Wong turut memaklumkan bahawa seorang lagi anak pasangan tersebut, kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, mengalami kecederaan ringan .
“Pemandu Honda Civic dan suaminya tidak mengalami kecederaan, manakala pemandu Perodua Myvi bersama isterinya serta anak lelaki mereka berusia 11 tahun mengalami cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh ,” katanya.
Beliau berkata, kenderaan yang terlibat akan dibawa ke Puspakom untuk menjalani pemeriksaan bagi membantu siasatan.
“Polis juga sedang mengesan saksi bebas kejadian ini untuk mendapatkan maklumat tambahan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” jelasnya.