KUALA LUMPUR – Kunjungan kelab bola sepak terkenal, Manchester United, ke Malaysia selepas 16 tahun mencuri perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga peminat setia kelab juara 13 kali Liga Perdana Inggeris itu.
Anwar berkongsi hantaran rasmi Manchester United di laman Instagram beliau mengenai perlawanan menentang ASEAN All-Stars yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 28 Mei ini.
“Semua negara ASEAN turun sebagai pasukan menentang Man United #ASEAN2025 #GGMU,” tulis beliau sambil mengiringi hantaran itu dengan lagu keramat Manchester United, Glory Glory Man United .
Namun, Anwar dalam satu hantaran turut berseloroh mengenai dilema sokongannya dalam perlawanan tersebut.
“Saya sokong ASEAN, tapi saya juga penyokong Man United. Kalau gol, nak sorak yang mana?” katanya, mencuit hati peminat bola sepak.
Perlawanan ini merupakan kunjungan pertama Manchester United ke Malaysia sejak siri jelajah pramusim mereka pada 2009 , di mana mereka menewaskan Malaysia XI dua kali dengan skor 3-2 dan 2-0 .
Selain perlawanan di Malaysia, kelab juara Eropah tiga kali itu turut dijadualkan menentang pasukan di Hong Kong pada 30 Mei , sebelum meneruskan siri jelajah mereka ke Stockholm dan Amerika Syarikat.
Kali terakhir Manchester United bermain di Asia adalah pada Julai 2022 , di mana mereka mencatat kemenangan 4-0 menentang Liverpool di Bangkok.
Perlawanan di Bukit Jalil ini menjadi peluang istimewa untuk peminat tempatan menyaksikan aksi kelab gergasi itu secara langsung.