SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mencipta kecemerlangan dalam dunia pendidikan tinggi apabila mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan (GE – graduate employment) yang luar biasa tinggi, iaitu 96.6 peratus pada tahun 2024, menurut data rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi yang baru dikeluarkan.
Berdasarkan data Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) oleh KPT, GE UUM meningkat konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini iaitu 94.4 peratus pada 2022, 95 peratus pada 2023, dan kini 96.6 peratus pada 2024.
Ini sekali gus mengatasi sasaran kebangsaan sebanyak 86.4 peratus, menjadikan UUM sebuah institusi yang berfokuskan pengurusan dan perniagaan terbukti berjaya dalam melahirkan graduan yang berkualiti tinggi.
Selain itu, kadar bekerja graduan UUM turut mencatatkan pencapaian mengagumkan sebanyak 97.1 peratus, melalui definisi operasi baharu KPT untuk Kadar Bekerja Graduan.
Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kejayaan ini adalah bukti keberkesanan pendekatan holistik universiti dalam menyediakan pelajar untuk dunia pekerjaan yang mencabar.
Beliau turut berterima kasih kepada pihak industri yang terus mempercayai kebolehan dan kemahiran graduan UUM.
“Rekod kejayaan ini juga mencerminkan komitmen UUM dalam mengadaptasi pendekatan pendidikan berorientasikan industri, yang menyeimbangkan teori dan kemahiran praktikal, sejajar dengan keperluan moden.
“Melalui pencapaian ini juga, UUM bukan sahaja terus kukuh sebagai universiti pengurusan dan perniagaan terkemuka, malah menjadi destinasi utama pelajar yang ingin mencorakkan masa depan kerjaya yang cerah.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua majikan termasuk alumni UUM atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepada graduan kami. Data ini membuktikan bahawa graduan kita berdaya saing dan mampu menyumbang secara signifikan, meskipun dalam situasi ekonomi yang tidak menentu,” katanya.
Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Aneese Ibrahim, dalam satu surat kepada Dr. Mohd Foad merakamkan penghargaan kepada UUM atas pencapaian yang membanggakan ini.
“Kementerian ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh warga UUM atas pencapaian cemerlang ini dan diharapkan agar pihak UUM terus dapat mengekalkan kecemerlangan ini bagi tahun akan datang,” katanya.
Dalam surat berkenaan menjelaskan, definisi operasi baharu untuk GE atau kadar bekerja graduan merujuk kepada perkadaran graduan bekerja kepada bilangan graduan dalam tenaga buruh. Pasaran tenaga buruh meliputi graduan berstatus bekerja dan belum bekerja.
Bagi graduan yang berada di luar tenaga buruh yang merangkumi graduan yang melanjutkan pengajian, meningkatkan kemahiran, menunggu penempatan pekerjaan dan lain-lain tidak diambil kira dalam pengiraan GE baharu.
Kadar kebolehpasaran graduan (GM) merangkumni status graduan bekerja, melanjutkan pengajian, meningkatkan kemahiran dan menunggu penempatan pekerjaan.
Untuk rekod, Seramai 6,742 graduan menerima ijazah masing-masing melibatkan sembilan sesi di Majlis Konvokesyen Ke-37 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang bermula pada 10 sehingga 14 November 2024 di Dewan Mu’adzam Shah, UUM
Daripada keseluruhan 6,742 graduan tersebut, seramai 5,539 adalah terdiri daripada graduan sarjana muda, manakala 1,126 merupakan graduan pascasiswazah terdiri daripada graduan Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana dan selebihnya 77 graduan Diploma Eksekutif.