ALOR SETAR:Sebanyak 14 daripada 15 Cabang PKR di Kedah tampil menyatakan sokongan terbuka terhadap Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi penggal 2025—2028.
Ketua Cabang Pokok Sena, Mohd Altab Pa Ibrahim berkata sokongan secara bersama diputuskan kerana Nurul Izzah bukan sekadar pemimpin biasa, sebaliknya merupakan nadi perjuangan reformasi yang sudah lama dalam sejarah PKR.
“Kami percaya, Nurul Izzah bukan sekadar pemimpin. Beliau adalah nadi perjuangan Reformasi sejak mula.
“Keteguhan beliau mengharungi cabaran demi menegakkan prinsip keadilan menjadikan beliau lambang keberanian, kecekalan, dan komitmen yang jitu dalam sejarah perjuangan parti ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata Nurul Izzah juga merupakan tokoh politik berwibawa yang sudah membuktikan kemampuannya sebagai suara rakyat, selain menjadi simbol harapan kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengimpikan perubahan menyeluruh dalam sistem pemerintahan.
“Sebagai tokoh muda yang berprinsip dan berpandangan jauh, Nurul Izzah bukan hanya membawa agenda reformasi, tetapi beliau juga adalah obor yang menyalakan semangat perjuangan tersebut di hati rakyat,” katanya.
Beliau berkata ketua cabang yang menyatakan sokongan adalah Ketua Cabang Jerlun, Mohamad Rudzi Samsudin; Ketua Cabang Padang Terap, Mohd Tahar Hussin; Ketua Cabang Langkawi, Ismail Wasi Ahmad Shafawi; dan Ketua Cabang Sik, Habib Ahmad Muhaiyuddin Habib.
Turut menyatakan sokongan ialah Ketua Cabang Baling, Chandar M. Subramaniam; Ketua Cabang Jerai, Poobalan Subramaniam; Ketua Cabang Kubang Pasu, Azizi Azizan; Ketua Cabang Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari; serta Ketua Cabang Merbok, Yugins Muthusamy.
Sokongan turut diterima daripada Ketua Cabang Kuala Kedah, Mohamad Shakir Lukman Hakim; Ketua Cabang Kulim-Bandar Baharu, Yeo Keng Chuan; Ketua Cabang Pendang , Halim Khomiza; dan Ketua Cabang Alor Setar , Chan Ming Kai.
Hanya Ketua Cabang Padang Serai, Shamsul Anuar Abdullah, masih belum menyatakan pendirian berhubung pencalonan itu setakat ini.
Dalam kenyataan yang sama, kesemua Ketua Cabang terbabit turut menyuarakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus menerajui tampuk kepimpinan parti sebagai Presiden PKR.
“Kami yakin beliau (Anwar Ibrahim) kekal sebagai calon terbaik untuk menerajui parti dan akan terus membawa PKR menuju masa depan yang lebih gemilang,” katanya.