ALOR SETAR – Setiap penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan semalam bakal menerima tuntutan insurans sebanyak RM20,000 bagi membantu keluarga mereka menghadapi kehilangan tragis ini.
Pengarah IKBN Jitra, Norhazita Kamaludin berkata, pihaknya turut membantu dalam pengurusan jenazah serta penghantaran mangsa ke kampung halaman masing-masing.
“Kami berusaha memberikan sokongan penuh kepada keluarga mangsa, termasuk memastikan urusan pengebumian berjalan lancar,” katanya di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa sumbangan diberikan bukan sahaja oleh pihak institut, tetapi juga oleh Pengurusan Tertinggi Kementerian Belia dan Sukan serta 21 Institut Latihan di bawah kementerian.
Norhazita bersama pegawai kanan institut, termasuk tenaga pengajar dan rakan-rakan mangsa, hadir di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah bagi memberikan sokongan moral kepada keluarga mangsa.
“Seluruh warga IKBN Jitra merasai kehilangan ini. Kami turut mengiringi van jenazah sehingga ke kampung halaman sebagai tanda penghormatan terakhir,” tambahnya.
Sebelum ini, media melaporkan tiga penuntut IKBN Jitra maut dalam kemalangan di Kilometer 49.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan ketika dalam perjalanan pulang ke kampung untuk bercuti sempena Hari Raya Aidiladha.