Putrajaya – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan kepentingan menghidupkan semula semangat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai tunjang kepada pembangunan negara.
Menurut beliau, tanpa budaya membaca yang kukuh, negara akan sukar bersaing dalam bidang bahasa, ilmu dan teknologi.
“Kita mewarisi tamadun yang hebat. Generasi hari ini bertanggungjawab untuk menimba ilmu sebanyak mungkin, membentuk peribadi dan akhlak, serta mengangkat martabat bangsa,” kata beliau ketika merasmikan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI: Guru Pemangkin Patriotisme Negara di sini, pada Rabu.
Namun, dalam era digital ini, minat membaca semakin terhakis terutama dalam kalangan generasi muda yang lebih tertarik dengan media sosial. Perdana Menteri turut mengimbas pandangan pengkritik sosial Amerika, Allan Bloom, yang telah membangkitkan isu ini sejak tahun 80-an.
“Pemberian buku sahaja tidak mencukupi. Kita perlu mencari pendekatan baharu untuk menanam minat membaca,” ujar beliau.
Jati Diri & Nilai Kemanusiaan
Anwar turut menegaskan bahawa kejayaan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui kemajuan fizikal tetapi juga melalui nilai kemanusiaan yang tinggi.
“Kalau kita maju tetapi kehilangan nilai kemanusiaan, apa gunanya? Kita perlu ada keseimbangan,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk tidak mengambil gaji, manakala barisan menteri masih mengekalkan potongan sebanyak 20 peratus.
“Ini tidak menyebabkan saya miskin, cuma saya tidak menjadi kaya. Namun, kemudahan kerajaan tetap ada,” jelas beliau.
Seminar yang menghimpunkan lebih 1,000 warga pendidik itu menjadi platform untuk memperkukuh semangat patriotisme melalui pendidikan dan pembentukan jati diri.
Kehadiran pemimpin utama negara dalam majlis ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam membina Malaysia MADANI yang berteraskan ilmu, nilai dan perpaduan.