Saturday, 19, July, 2025
Utama Nasional RMK13 dijangka dibentang 28 Julai – Fahmi

RMK13 dijangka dibentang 28 Julai – Fahmi

oleh Ammar Haziq

Putrajaya – Kerajaan MADANI dijangka membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen pada 28 Julai ini, menurut Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, memaklumkan bahawa mesyuarat Kabinet hari ini telah diberikan taklimat berhubung pelaksanaan RMK13 oleh Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron.

“Perdana Menteri meminta supaya setiap kementerian meneliti draf yang dibentangkan dan memberi maklum balas kepada Kementerian Ekonomi sebelum ia dimuktamadkan,” katanya dalam sidang media mingguan di sini, pada Rabu.


RMK13 dilihat sebagai antara dokumen dasar utama bagi merealisasikan agenda Ekonomi MADANI yang digariskan oleh kerajaan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan RMK13 sebagai langkah penting dalam usaha menangani cabaran ekonomi negara, termasuk kesenjangan pembangunan dan pendapatan, ruang fiskal yang terhad, serta peralihan struktur ekonomi yang perlahan.


Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan bahawa Perdana Menteri turut mengingatkan Jemaah Menteri agar meneruskan usaha menaik taraf dan memperbaiki 30 sekolah di kem tentera di seluruh negara.

Anwar juga berpuas hati dengan kemajuan kerja-kerja pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) oleh Lumut Naval Shipyard dan menyifatkannya sebagai satu pencapaian yang membanggakan.

RMK13 bakal menjadi rancangan Malaysia pertama yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sekali gus mencerminkan hala tuju pentadbiran beliau dalam merangka strategi pembangunan negara secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com