Saturday, 19, July, 2025
Utama Mahkamah & Jenayah Bapa tiri, abang kandung durjana didakwa kerana rogol

Bapa tiri, abang kandung durjana didakwa kerana rogol

oleh Ammar Haziq

BALING: Seorang pengawal keselamatan bersama dua ahli keluarganya didakwa di Mahkamah Sesyen Baling hari ini atas pelbagai kesalahan merogol dan menyembunyikan kejadian jenayah itu.

Tertuduh yang merupakan bapa tiri mangsa mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, 49, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa berusia 15 tahun yang mempunyai pertalian yang dilarang di sisi undang-undang, hukum agama dan adat merogol mangsa di sebuah rumah di Kampung Tanjung Merbau, Pulai, kira-kira jam 4 petang, 24 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Masniah Dolah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dan menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh untuk serahan laporan perubatan mangsa.

Sementara itu pengawal keselamatan itu turut berdepan pertuduhan berasingan kerana memiliki bahan lucah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki bahan lucah berupa gambar dan video dalam telefon bimbit jenama Vivo Y66 di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling pada jam 3.40 petang, 27 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan mahkamah menjatuhkan hukuman 15 bulan penjara bermula dari tarikh tangkapan.

Dalam prosiding sama, abang kandung mangsa yang berusia 17 tahun turut mengaku bersalah atas pertuduhan merogol adiknya di rumah yang sama kira-kira jam 10 pagi pada 15 Jun 2025.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun dan sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim menetapkan 30 Oktober ini untuk serahan laporan akhlak dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000.

Sementara itu, ibu kandung mangsa, 45, turut dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan gagal melaporkan jenayah seksual terhadap anaknya kepada pihak polis.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai itu mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai bahawa satu kesalahan seksual berlaku terhadap anak perempuannya, namun gagal membuat laporan kepada mana-mana pegawai polis.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 10 pagi, 24 Julai 2024 di sebuah sekolah menengah di Jalan Baling di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 jika sabit kesalahan.

Wanita itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dan mahkamah mengenakan denda RM2,000 atau penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com