Saturday, 19, July, 2025
Utama Ekonomi SST: Kerajaan terima kritikan, tapi mesti berdasarkan fakta – PM

SST: Kerajaan terima kritikan, tapi mesti berdasarkan fakta – PM

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Kerajaan sentiasa bersikap terbuka terhadap sebarang kritikan berhubung peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), namun pandangan yang disuarakan mestilah berasaskan fakta dan disampaikan secara bertanggungjawab.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan memperluas pelaksanaan SST dibuat secara teliti bagi memastikan ia tidak membebankan majoriti rakyat.

“Ada yang mendakwa peluasan SST menyebabkan kadar elektrik naik, termasuk beberapa mahasiswa. Saya tidak pasti sama ada mereka benar-benar terkesan.

“Jika ada universiti yang mengenakan caj elektrik kepada pelajar, perkara itu perlu disemak semula kerana setahu saya, universiti awam dikecualikan daripada cukai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini.

Anwar turut menegaskan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh disalah guna untuk mencaci atau menyebarkan maklumat tidak benar.

“Saya tiada masalah ditegur atau dikritik, tetapi pastikan ia dibuat secara berfakta dan tidak bermotif politik semata-mata,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com